Tersebutlah kisah sebuah negara,
Malaysia digelar diberi nama;
Perdana Menteri bekerja bersama-sama,
Agar Malaysia jadi ternama.
Satu Malaysia ilham Perdana Menteri,
Galakkan rakyat bersatu hati;
Demi kerana negara dicintai,
Moga hidupmu terus diberkati.
PM mengajak rakyat bersatu,
Pelbagai kaum bersatu padu;
Memupuk minda generasi baru,
Demi kerana Malaysia yang satu.
PM bekerja tak kira masa,
Pentingkan rakyat dari segala;
Kerahkan menteri beri kerjasama,
Asalkan rakyat hidup bahagia.
PM dan menteri kerja bersungguh,
Demi rakyat negara teguh;
Petah bicara bila berhujah,
Agar rakyat dapat berteduh.
PM kita pencetus revolusi,
Galakkan rakyat berkreativiti;
Minda penuh daya imaginasi,
Lahirkan produk berinovasi tinggi.
Menteri kabinet beri perhatian,
Ikut arahan dalam panduan;
Ada kuasa jangan disia-siakan,
Hilang kuasa dalam penyesalan.
Apalah ada pada kuasa,
Salah guna bawa binasa;
Jalankan tugas hati yang waja,
Hidupmu pasti rasa bahagia.
Rakyat perlu pemimpin berjasa,
Menabur jasa sudahlah biasa;
Ramah tamah tak gila kuasa,
Moga hidupmu aman sejahtera.
Melayu Cina India janganlah iri,
Segala usaha tidak menjadi;
Bila bersatu wajah berseri,
Pelbagai bangsa jadi menteri.
Sabah Sarawak tidak dilupakan,
Sama rata diberi peruntukan;
Justeru itu kekalkan perpaduan,
Pasti hidup dalam kesejahteraan.
Mari semua hidup berdamai,
Fikirkan negara amanlah damai;
Indah sungguh hidup yang permai,
Segala budi sama disemai.
Kementerian Pelajaran iktirafkan guru,
Guru berkualiti amat diseru;
Biar murid berminda baru,
Demi kerana Malaysia yang satu.
Ilmu itu pelita hati,
Hati gelap akan diterangi;
Bila gagal cubalah lagi,
Kejayaan cemerlang sedia menanti.
Penjawat awam ubahlah minda,
Jadikan minda kelas pertama;
Seiring dengan kehendak arus perdana,
Kerajaan dan rakyat pasti berjaya.
Majikan perlukan pekerja ikhlas,
Sungguh-sungguh melakukan tugas;
Janganlah ada bersikap malas,
Majikan pun tidak akan bertegas.
Usahawan cemerlang negara terbilang,
Azam bersungguh tak pernah hilang;
Usahakan hati terang benderang,
Barulah usaha jadi terbilang.
Budi bahasa budaya kita,
Adab sopan apabila bicara;
Bila begitu ramai yang suka,
Hidup pasti lebih ceria.
Sifat jujur haruslah ada,
Ke mana pergi senanglah rasa;
Takkan ada rasa kecewa,
Hati pun bersih hasad pun tiada.
Bertuahnya hidup di bumi Malaysia,
Berkat kepimpinan yang bijaksana;
Di bawah pemerintahan Agong adil dan saksama,
Rakyatnya hidup aman dan sejahtera.
Pos Malaysia lambang merdeka,
Kerana terpanggil untuk berjasa;
Demi kerana Negara tercinta,
Moga jasamu dikenang hingga bila-bila.
PM mahu PDRM berintegriti,
Jalankan tugas penuh teliti;
Agar rakyat rasa dilindungi,
Jasa baktimu tetap dihargai.
Satu Malaysia sayangkan negara,
Rasa cinta terus membara;
Teruskan perjuangan walau di mana,
Biarpun terpaksa bekorban nyawa.
Sekian sahaja syair Malaysia kusayang,
Rakyatnya hidup tolong menolong;
Budi yang baik tak akan hilang,
Moga negara terus gemilang.
Karya: Ummu Sal
(31 Ogos 2010 Bersempena Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Ke-53)
Thursday, August 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment