Thursday, August 18, 2011
PANTUN 1MALAYSIA PATRIOTIK
Nabi Muhammad S.A.W lambang perpaduan,
Berbudi pekerti mulia berhemah tinggi;
Semasa hidup memberi panduan,
Akhir kalam umatnya disayangi lagi diingati.
Sultan Mizan Agong berwibawa,
Memerintah negara adil saksama;
Rela berkorban demi rakyat tercinta,
Ke mana pergi disayangi rakyat jelata.
Tunku Abdul Rahman PM pertama,
Digelar rakyat Bapa Kemerdekaan;
Impian Tunku telah terlaksana,
Menjadikan Malaysia pesat membangun.
Allahyarham Tun Abdul Razak PM kedua,
Mohd Najib anak kesayangan;
Matlamat perjuangan tidak berbeza,
Rakyat DiDahulukan Pencapaian DiUtamakan.
Tun Hussein Onn PM ketiga,
Tertib sungguh bila berbicara;
Masalah rakyat diurus dijaga,
Agar rakyat hidup terbela.
Malaysia maju idea Tun Mahathir,
Digelar rakyat Bapa Pemodenan;
Pejuangan beliau tidak berakhir,
Malaysia maju dalam pembangunan.
Tun Abdullah Ahmad Badawi PM kelima,
Pentingkan rakyat berminda kelas pertama;
Satu Malaysia bermuafakat bersama,
Menjadi warga dunia yang teristimewa.
Transformasi kerajaan idea PM keenam,
Rakyat letakkan harapan yang tinggi;
Saling bertoleransi biarpun pelbagai kaum,
Agar semuanya saling hormat menghormati.
Lambai Limbai bukan lambaian kosong,
Melambangkan hati nurani rakyat Sabah;
Satu Malaysia rakyat cemerlang,
Akan semuanya menjadi indah.
Negeri Sarawak terus membangun,
Bajet pembangunan dibuat telus;
Nasib rakyat tidak dibiarkan,
Biar cemerlang terus menerus.
Tentera Darat mendukung aspirasi rakyat dan negara,
Demi rakyat dan negara tercinta;
Rela berkorban jiwa dan raga,
Jasamu dikenang hingga ke hujung nyawa.
PLKN generasi patriotik,
Itulah asas benteng negara;
Tiada terlibat agenda politik,
Hanya semata untuk negara.
Rosmah pencetus Permata Negara,
Bagi membentuk generasi berjasa;
Cita-cita dipupuk terus membara,
Memahat nama di antarabangsa.
Tahun Baharu Cina disambut meriah,
PM dan rakyat beramah mesra;
Idea pembangunan kian bercambah,
Demi kepentingan rakyat dan negara.
Hari Thaipusam tidak dilupakan,
PM datang menyerikan majlis;
Kaum India gembira sakan,
Kerana PM berwajah manis.
Kerajaan dan media rakan kongsi,
Masalah rakyat dikongsi bersama;
Gagasan 1Malaysia akan direalisasi,
Malaysia pasti jadi ternama.
Karya seni warisan negara,
Kerajaan hargai rakyat banggai;
Pelancong yang datang dilayan mesra,
Produk terkenal berkualiti tinggi.
Rakyat faham Satu Malaysia,
PM tersenyum tanda gembira;
Mari kita pakat sama-sama,
Gemilangkan Malaysia di persada dunia.
Satu Malaysia jadi kenyataan,
Pasti PM tersenyum bangga;
Menabur jasa janganlah bosan,
Biarpun terkorban jiwa dan raga.
Malaysia ini milik semua,
Rakyat hidup dalam sejahtera;
Tercipta sudah negara bangsa,
Pemimpin dan rakyat seiring sekata.
Satu Malaysia rakyat patriotik,
Bersatu padu bersatu hati;
Rakyat sejahtera tanpa konflik,
Negara makmur Malaysia dihormati.
Karya: Ummu Sal
(31 Ogos 2010)
(Bersempena Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Ke-53)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment