Saturday, August 27, 2011
SALAM SYAWAL BUAT SEMUA
Salam Syawal buat sahabatku,
Kukirimkan jutaan ampun di angin lalu;
Salah tutur bicara maafkan daku,
Biarpun di pagi Syawal kita tak ketemu.
Di pagi Syawal kita tak ketemu,
Bersama sanak saudara bermaaf-maafan;
Takbir di pagi Aidilfitri mendayu-dayu,
Buat hatiku terharu sendu sendan.
Hatiku terharu sendu sendan,
Teringatkan permergiaan keluarga tercinta;
Kubacakan Yassin di kuburan,
Pengubat rindu buat mereka yang tiada.
Pengubat rindu mereka yang tiada,
Moga dicucuri rahmat roh yang tercinta;
Moga Allah ampunkan segala dosa,
Menerima segala amalan ketika hidupnya.
Pergi ke masjid berwangi-wangian,
Bertakbir Raya Di Aidilfitri;
Takbir Raya didengar penuh penghayatan,
Kesyahduan takbir menusuk hati.
Takbir Raya menusuk hati,
Air mata mengalir meninggalkan Ramadhan;
Pergi Ramadhan selalu dirindui,
Moga berjumpamu lagi di tahun hadapan.
Wajah berseri-seri pakaian serba baru,
Meraikan Syawal penuh kesyukuran;
Pelbagai juadah untuk tetamu,
Bersalam salaman penuh keceriaan.
Bersalam-salaman penuh keceriaan,
Saling bermaaf-maafkan di antara kita;
Mengundang rahmat dari Tuhan,
Dosa tersimpan terampun buat hatiku lega.
Sambil bersalaman bermuhasabah diri,
Jangan diulangi kesilapan lalu;
Tutur bicara perlu dikaji,
Agar ianya tidak memakan diri.
Selesai bersalaman kita dijamu juadah,
Pelbagai jenis terhidang sudah;
Semuanya ramah tamah,
Di pagi Syawal sememangnya indah.
Senyuman Syawal semanis kurma,
Kedatangan Syawal dari Tuhan untuk hambaNya;
Moga amalan kita diterimaNya,
Berkat kesabaran menahan segala cabarannya.
Senyuman Syawal semanis kurma,
Senyuman hambaNya mengundang keberkatan;
Bermaafan kita dalam redhaNya,
Bertalisiraturrahim penuh keberkatan.
Moga Allah cucuri rahmat kepada kita semua,
Begitu juga setelah mati mendapat rahmatNya;
Syukurku kita bertalisiraturrahim di alam maya,
Bertukar pandangan berkongsi ilmu demiNya.
Selamat Aidilfitri kepada semua sahabatku,
Salah dan silap harap maafkan daku;
Mana tahu ada tutur kataku yang menguriskan hatimu.
Kuhulurkan salam memohon maaf darimu.
Karya: Ummu Sal
21 Ramadhan 1432H
21 Ogos 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment