|
Generasi patriotik impian kerajaan,
Lalu tercetuslah program khidmat Negara;
Program khidmat Negara adalah satu perjuangan,
Mempertahankan Negara bersemangat membara.
Program PLKN amat berfaedah lagi menyeronokkan,
Tiada sifat penderaan ataupun hukuman;
Proses pembelajaran tidak membosankan,
Apabila tamat menjadi kenang- kenangan.
Menyemarakkan semangat patriotisme objektif PLKN,
Generasi muda biar cergas penuh keyakinan;
Menempuh cabaran dengan kebijaksanaan,
Agar generasi terdidik semangat patriotik dan kesukarelaan.
Setiap aktiviti dijalankan penuh muhibbah,
Hormat menghormati walaupun pelbagai kaum;
Memegang senjata tidak menggelabah,
Dilakukan dengan bangga dan kagum.
Setiap pelatih diajar semangat waja,
Berdisplin dan berkeyakinan tinggi;
Budaya bekerjasama terpupuk di kalangan remaja,
Tercapailah sudah motif memupuk nilai-nilai murni.
PLKN memupuk perpaduan kaum,
Integrasi nasional menjadi fokus;
Agar tiada berlaku perselisihan kaum,
Sememangnya berpadu dalam suasana harmonis.
Dilaksanakan PLKN ala Malaysia,
Bermatlamat mencapai keperluan Negara;
Segala ilmu dituntut tidak menjadi sia,
Disemai dan diamalkan bersemangat membara.
Bukan mudah mengajar erti perjuangan,
Perjuangan membela dan mencintai Negara;
Asalkan terpupuk semangat pejuang berpanjangan,
Sanggup pertaruhkan nyawa demi kerana cintakan Negara.
Guru mengajar penuh minat dalam kesabaran,
Asalkan peserta PLKN mendapat ilmu yang ditimba;
Antara guru dan pelatih saling sefahaman,
Barulah peserta menimba ilmu berlumba-lumba.
Modul fizikal memberi kemahiran dan ketahanan mental,
Serta ketahanan emosi spiritual dan fizikal;
Memupuk perpaduan wira-wirawati bersemangat kental,
Pasti PLKN terus menjadi terkenal.
Para pelatih diajar bekerja dalam satu pasukan,
Berkemahuan dan bersemangat setiakawan;
Sentiasa ingin menabur jasa dalam kesukarelaan,
Hanya semata kerana rakyat dan Negara diutamakan.
Peserta digalakkan berpewatakkan positif,
Menerapkan nilai-nilai kepimpinan di jiwa peserta;
Semasa berkawad sentiasa aktif,
Berdisplin sentiasa setiap peserta.
Jiwa kepimpinan dicerna begitu terperinci,
Membuat keputusan penuh yakin;
Penerokaan diri untuk mengenal pasti diri sendiri,
Agar nilai-nilai murni dapat diterapkan.
Perhubungan individu didalam kumpulan,
Bekerjasama berkumpulan diutamakan;
Kecekapan cara bertindak diserlahkan,
Agar mengatasi masalah dalam kumpulan.
Modul khidmat komuniti diajarkan,
Bertujuan menyemai semangat kesukarelaan;
Kepada alam sekitar masyarakat dan kejiranan,
Agar terbentuk komuniti yang dibanggakan.
Modul kenegaraan diajarkan juga,
Agar terpupuk semangat patriotik dan cintakan Negara,
Mengenal Negara dan mempertahankannya,
Biarpun pertaruhkan nyawa demi Negara tercinta.
Apabila datang ancaman dari dalam dan luar Negara,
Akan dipertahankan di segenap penjuru;
Sentiasa bersiap sedia membela Negara,
Rela bermandikan darah dihujani peluru.
Sayangkan rakyat jua sayangkan Negara,
Demi pewaris yang bakal ditinggalkan;
Semangatmu sentiasa membara-bara,
Jika kau tiada jasamu sentiasa dikenang-kenangkan.
Selamat berjuang wira-wirawatiku,
Moga semangat keperwiraanmu tak pernah jemu;
Mengalah dan berundur tak pernah bertamu,
Jasamu mewangi meresap ke jantung hatiku.
Karya: Ummu Sal
30 Mei 2011
Thursday, August 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment