Thursday, September 15, 2011

SINOPSIS & SKRIP DRAMA PENTAS PENGANTIN RAJA RIMBA


SINOPSIS DAN SKRIP DRAMA PENTAS , ‘PENGANTIN RAJA RIMBA’

Mengisahkan perkahwinan harimau dengan monyet pada tahun 2020.
Betapa meriahnya hari tersebut kerana semua binatang di darat dan
di laut meraikannya. Tidak kira binatang buas, jinak, besar dan kecil
masing-masing membawa hadiah yang unik.
Pada sebelah malamnya pula berselerakan bintang-bintang di langit
di merata-rata tempat. Pelamin dihias dengan lampu-lampu berwarna-
warni. Di hadapan pelamin penuh dengan hantaran kedua-dua belah
pengantin. Sebelum monyet menyambut hari perkahwinan, monyet
menghadapi pelbagai cabaran.

Monyet mempunyai falsafah mengapa dia berkahwin dengan harimau.
Di antaranya:

1. Menyatupadukan binatang buas dengan jinak.
2. Mewujudkan keharmonian masyarakat seluruh jenis binatang.
3. Mewujudkan masyarakat yang kuat membantu yang lemah.
4. Yang berlebihan membantu yang kurang.
5. Saling sayang menyayangi di antara satu sama lain.
6. Mewujudkan masyarakat bersatupadu.
7. Mewujudkan masyarakat yang berwawasan.
8. Saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
9. Kerja berpasukan dan kepentingan diri sendiri dilupakan.
10. Sanggup berkorban demi keharmonian hutan yang didiami.

Pada malam yang ditunggu-tunggu oleh semua penghuni rimba dan
lautan iaitu menandakan masuknya tahun 1 hb 1 tahun 2020 mereka
semua menyambut dengan sorakkan percikkan bunga api yang meng-
indahkan langit rimba meraikan ,’ Perkahwinan Raja Rimba’ yang
menjadi simbol penyatuan kaum semua penghuni rimba mengecapi
kehidupan aman damai selamanya.

Karya: Rha NS
1 Januari 1195
&
1 Jun 2011

SKRIP DRAMA PENTAS PENGANTIN RAJA RIMBA

BABAK PERTAMA (PERTENTANGAN)
Dimulakan dengan syair:

Tersebutlah kisah satu cerita,
Puteri Monyet yang cantik jelita;
Berhemah tinggi tidak terkata,
Di mana saja berdukacita.

Singa betina : Hei monyet betina! Kau cermin sikit muka kau tu…
dahlah hodoh ada hati nakkan harimau.

Monyet betina : Yang engkau sakit hati dengan aku ni kenapa?
Aku tak pernah pun hina engkau atau sesiapa saja. Walaupun aku
hodoh tapi hati aku taklah sebusuk hati engkau! Mentang-mentanglah
engkau binatang yang kuat… nak tunjuk ego pulak.

Singa betina : Engkau ni perasan sangat. Harimau tengok
muka engkau pun dah nak loya.

Monyet betina: Ah! Engkau tu memang cemburu dengan aku,
sebab selama ini tak ada binatang yang minat dengan engkau walau
pun sekaum denganmu.

Singa betina : Untuk mengetahuan engkau monyet, harimau
tak layak dengan engkau tapi… kalau dengan aku bagaikan pinang
dibelah dua. (GELAK).

BABAK KEDUA (SEMANGAT)

Raja harimau pilihan hati,
Mengadu hasrat pada merpati;
Agar cinta jadi sejati,
Jasa si burung tetap diingati.

Burung : Sang monyet… aku tahu engkau sedang
memendam rasa cinta terhadap harimau. Kenapa kau
tak mahu terus terang aje padanya?

Monyet : Aku malulah… siapalah aku hidung tak
mancung pipi tersorong-sorong.

Burung : Zaman sekarang ni… zaman terus terang,
siapa cepat dia dapat.

Monyet : Bukan semudah itu burung, kalau aku jatuh
cinta dengan kaum sejenis dengan aku tak apalah. Ini dengan
keturunan garang lagi ganas. Silap… silap haribulan aku yang
dibahamnya.

Burung : (Ketawa) Ha… tahu pun engkau takut.

Monyet : Apa nak buat… hati dah terbekenan, nyawapun
sanggup digadaikan.

Burung : Begitu hebat sekali cinta engkau tu. Sanggup
menggadaikan nyawa.

Monyet : Aku harapkan cintaku yang tertanam di sanubariku
menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Burung : Aku kasihankan kau monyet. Angan-angan mu
tinggi melangit. Kadang kala aku fikirkan engkau ni dah tak siuman
kerana membuat keputusan yang tak masuk akal.

Monyet : Bukan engkau je kata aku macam tu. Boleh dikatakan
semua mengatakan aku dah gila. (Mengeluh) Manalah tahu satu hari
nanti tuah menyebelahi aku. Masa tu baru engkau tahu siapa aku.

Burung : Tak payah engkau cerita, semua binatang tahu…
siapa engkau.Seekor binantang yang pintar, suka menolong
kawan, bercita-cita tinggi, berwawasan, berjiwa murni dan kuat
berpegang kepada falsafah.

Monyet: Ke situ pulak dia. Aku tak mintak pun kau puji aku.
Yang aku mahu kau berikan aku pendapat bagaimana engkau dapat
menolong aku dalam mengeratkan lagi percintaanku dengan harimau.

Burung : (Ketawa) Monyet… monyet… engkau ni tak kenal
erti putus asa. Baiklah… engkau karang surat menyatakan hasrat
hati engkau pada harimau… biarkan aku poskan surat engkau tu
pada harimau.

Monyet : (Senyum) Ha… macam tulah kawan. Sanggup
menolong kawan.

BABAK KETIGA (PERTENTANGAN)

Puteri Monyet memendam rasa,
Dihina kawan tidak berasa;
Tidak mudah berputus asa,
Korban cinta untuk berjasa.

Monyet Jantan : Kenapa engkau tak sukakan aku? Sedangkan
aku boleh berikan segala-galanya pada engkau. Kitakan satu jenis,
satu hati.

Monyet Betina : Engkau ingat , cinta boleh dibeli dengan sekelip mata?

Monyet Jantan : Bukan aku saja yang menentang percintaan engkau tu,
malah semua binatang.

Monyet Betina : Ada aku kisah? Yang bercintanya aku…
bukan mereka.

Monyet Jantan : Apa kelebihan harimau tu hinggakan
kau sanggup melupakan asal usul kau binatang yang lemah?

Monyet Betina : Cinta itu unik, murni… memerlukan
pengorbanan. Apa salahnya aku korbankan diri aku untuk
cinta demi semata-mata…

Monyet Jantan : Kepentingan engkau! Engkau ingin mengejar
glamor. Biarlah semua binatang mengatakan betapa hebatnya
engkau dapat memikat raja segala binatang. Yalah punya kuasa,
tampan dan digeruni oleh semua binatang. Macam aku ni apalah
ada.

Monyet Betina : Betul kata engkau tu, kerana dia mempunyai
kuasa dan digeruni oleh binatang maka aku jatuh cinta dengannya.

Monyet Jantan : Memang aku dah agak dari wal jadi engkau ni
gilakan kuasa hingga sanggup menggadai cinta. Aku jijik! Jijik!
Mempunyai kaum yang sejenis macam ni!

Monyet Betina : Engkau nak pandang jijik ke atau apa saja yang
engkau nak kata… katalah. Aku tak kisah. Asalkan cinta aku tercapai
akhirnya.

Monyet Jantan : Aku pelik bin ajaib dalam sekelip mata kau dah
berubah. Dulu engkau tak macam ni. Kau terlalu pentingkan kaum
kau. Engkau bersikap perkauman.

Monyet Betina : Kerana ingin mengikis sikap perkauman yang
menebal dalam diri aku inilah aku mengambil keputusan untuk
jatuh cinta dengan harimau.

Monyet Jantan : Maksud kau?

Monyet Betina : Cuba kau fikir di dalam hutan ini terdiri
daripada pelbagai jenis binatang. Kalau masing-masing asyik
mementingkan kaumnya saja tanpa memikirkan kepentingan
binatang lain. Kalau macam tu bagaimana kita hendak bina
generasi kita yang berwawasan dalam keadaan huru hara.
Siapa yang susah? Anak cucu kita yang susah. Apa salahnya
kita merancang dari sekarang agar anak cucu kita mengecap
kebahagiaan yang hakiki.

Monyet Jantan : Aku tak terfikir pun yang kau berfikiran
sampai ke situ.

Monyet Betina : Salahkah aku… aku korbankan cintaku untuk
anak cucu kita dan seterusnya kedamaian hutan ini. Jika kita
hidup dalam keadaan aman damai tak siapapun berani untuk
menceroboh hutan ini. Kita buktikan pada manusia, walaupun
kita binatang tapi kita lebih mulia daripada mereka. Aku ingin
memadamkan dalam kamus manusia kata istilah,
‘ Peragai seperti binatang.’

Monyet Jantan : Sekarang baru aku faham, mengapa engkau
jatuh cinta dengan harimau. Mulai sekarang aku akan memberi
sokongan agar cita-cita kau tercapai.

BABAK KEEMPAT (JATUH CINTA)

Raja harimau termakan budi,
Sakitnya kekasih tidak terperi;
Menentang sawa kuat menjadi,
Cinta dibalas patut diberi.

Harimau : Sedapnya buah durian tu… kalau aku dapat makan…
alangkah…

Monyet : Aku faham kau inginkan buah durian, biarlah aku
tolong ambilkan.

Harimau : Sungguh baik hati mu monyet… aku kuat tapi aku
tak boleh memanjat. Sungguhpun aku binatang yang hebat tapi
aku ada kekurangan.

Monyet : Tuhan itu Maha Adil. Semua makhluk yang
dijadikan mempunyai kelebihan dan kekurangan. Justeru
apa salahnya kelebihan yang ada pada aku ini dapat aku
membantu binatang-binatang lain.

Harimau : Kata-kata engkau tu menyedarkan aku.
supaya kita jangan hidup sombong dan bongkak.
Tiada yang kekal di dunia ini melainkan Allah.

Monyet : Ha… makanlah sepuas hatimu harimau.
( MONYET MEMBERIKAN DURIAN)

Harimau : (CUBA MENGOPEK DURIAN GAGAL LALU MENGELUH)

Monyet : Nanti luka … harimau.

Harimau : Selalunya aku melukakan mangsaku tapi kopek
durian pun aku tak boleh.

Monyet : Kali ni biarlah kuku kau yang tajam tu hanya akan
berbisa bila hendak menyelamatkan penghuni rimba ini ye.
Biar aku tolong kopekkan durian ni.

Harimau : Hati-hati monyet… nanti luka tanganmu.

Monyet : Tak apa aku dah biasa terluka.

Harimau : Lain macam bunyi nye tu. Mulai hari ini
tiada siapa akan berani melukakan kau lagi. Kalau berani…
mari bertarung dengan aku dulu.

Monyet : Ha… dah buka pun…makan puas-puas.
Kalau tak cukup aku ambil lagi.

(TERUS MEMANJAT POKOK TANPA MENYEDARI ADA
SEEKOR ULAR SAWA)

Monyet : Tolong lepaskan aku! ( DIBELIT OLEH ULAR SAWA).

Harimau : Hai ular sawa! Kalau engkau benar-benar gagah
mari turun ke mari. Jangan dengan binatang yang lemah engkau
nak tunjukkan kekuatan.

Ular Sawa : Engkau hendak mencabar aku ya harimau.
Baiklah sekarang aku turun.

(HARIMAU BERLAWAN DENGAN ULAR SAWA AKHIRNYA
ULAR SAWA TEWAS)

Ular Sawa : Engkau memang gagah. Maafkan aku.
Aku mengaku kalah.

Harimau : Engkau tak salah dengan aku tapi dengan monyet.
Baik engkau pergi minta maaf dengannya.

Ular Sawa : Monyet maafkan kerana mengganggu engkau.

Monyet : Aku maafkan . Lain kali jangan tunjuk kuat pada
binatang yang lemah. Sepatutnya binatang yang kuat membantu
yang lemah. Barulah aman. Sudahlah tu mari kita makan bersama-
sama.

(KETAWA BERSAMA-SAMA)

BABAK KELIMA (SURAT)

Raja Harimau menerima surat,
Surat dibaca menyatakan hasrat;
Cinta membara bertambah sarat,
Kalau jodoh telah tersurat.

Harimau : Surat siapa yang engkau bawa tu burung?

Burung : Surat istimewa ni untuk engkau.

Harimau : Siapa ya… yang berani hantar surat istimewa
pada aku?

Burung : Surat cinta.

Harimau : Eh! Siapa pulak yang berani jatuh cinta dengan aku?
Engkau jangan bergurau burung.

Burung : Kalau tak percaya … bacalah. (MEMBERI SURAT)
Selamat tinggal! Selamat membaca…

Harimau : (Membuka surat lalu membaca)

Surat Monyet :

Salam sejahtera buat harimau, janganlah
terperanjat apabila membaca warkah pertamaku ini.
Biarlah aku berterus terang padamu bahawa aku telah
jatuh cinta padamu ketika pertemuan yang tidak
disengajakan tempoh hari. Maaf ! Kerana jatuh cinta
tanpa pengetahuanmu.

Kegagahanmu melawan ular sawa amat mengagumkan aku.
Syabas! Kau telah menggunakan kekuatanmu untuk
menyelamatkan nyawaku. Aku harap kegagahanmu berkekalan
selamanya untuk menyelamatkan nyawa beribu-ribu
binatang di rimba ini tanpa mengira siapa pun mereka.
Iyalah kalau difikirkan siapalah aku untuk jatuh cinta
padamu. Ah! Malunya aku. Aku harap engkau tidak
memarahi aku setelah mendengar pengakuan ikhlas
dariku. Sekiranya kau balas cintaku betapa bahagianya aku.
Secara tak lansung segala cita-citaku menjadi kenyataan.
Oleh itu agar aku tidak ternanti-nati kau balaslah
warkahku ini.

Akhir kata sambutlah salam hormat dariku,

Yang perasan,

Monyet.

Harimau Jantan : (SENYUM) Sambil melekapkan surat di dadanya.
Ya… Beda bedu….! ( GEMBIRA YANG BUKAN KEPALANG)

Harimau Betina : Surat siapa tu? Sukanya engkau?
Kenapa? (TERUS MERAMPAS SURAT DARI HARIMAU)
Oh! Surat cinta rupanya! Patutlah tersengih-sengih.
Habis tu kau terima cintanya?

Harimau Jantan : Diam.

Harimau Betina : Kalau engkau terima dia…
cinta aku ni engkau nak campak mana?

Harimau Jantan : Engkau jadi isteri nombor dua akulah (GELAK).

Harimau Betina : Engkau ingat aku suka berkongsi suami? (MARAH)

Harimau Jantan : Kalau tak suka… diam-diam ajelah!

Harimau Betina : Mana aku boleh diam kekasih aku diambil
binatang lain . Aku akan tentang habis-habisan!

Harimau Jantan : Hei! Sejak bila aku jadi kekasih engkau ha!
Setahu aku engkau ni cuma teman biasa aje.
Jangan lekas perasanlah.(GELAK)

Harimau Betina : (SAKIT HATI LALU PERGI).

BABAK KEENAM (BALAS CINTA)

Raja Harimau membalas cinta,
Gembiranya hati Puteri Jelita;
Siang dan malam bertemankan tinta,
Agar cinta terus bertahta.

Harimau Jantan : (MEMBALAS SURAT KEKASIH HATI)

Buat tatapan monyet, warkahmu telah kuterima dan kuucapkan
jutaan terima kasih di atas pengakuan ikhlasmu itu. Biarlah aku
katakana di sini niatmu untuk menjadikan aku kekasihmu…
Aku terima dengan rela hati. Biarpun aku tahu keputusan yang
aku ambil ini akan menggemparkan seluruh binatang di darat
mahupun di laut. Aku sedar, betapa pentingnya kedamaian.
Memang aku akui aku bongkak, sombong dengan kekuatan
yang aku miliki untuk membunuh mangsa-mangsaku tapi
setelah berkenalan denganmu tempuh hari segala
kebongkakkanku terpadam dengan tiba-tiba.
Kehadiranmu pada hari itu telah melembutkan keganasanku.
Terima kasih monyet, semoga kau tetap menjadi kekasihku
yang setia.

Akhirkata sambutlah salam hormat daripadaku.

Yang Mencintaimu,

Harimau.

BABAK KETUJUH (POS)

Jasa si burung tidak dilupa,
Terbang tinggi bertegur sapa;
Mengalir keringat tidak mengapa,
Tanda kasih sedemikian rupa.

Burung : Sudah siap ke surat balasan?

Harimau: Sudah…bawa tu baik-baik ye… jangan sampai tercicir.

Burung : Engkau tak percayakan aku ke?

Harimau : Aku cuma beri ingatan je! Kan elok saling ingat
mengingati.

Burung : Terima kasih atas nasihat kau tu. Aku akan pastikan
surat ini selamat sampai kepada sahabatku monyet.
(MENGAMBIL SURAT)

* * * * *

Burung : (MENGAH) Monyet… ini surat engkau bacalah cepat.

Monyet : Terima kasih burung. Semoga Tuhan membalas budi baikmu,
MEMBACA KEMUDIAN SENYUM PANJANG)

Burung : Macam mana ada tindak balas tak?

Monyet : Gembiranya aku! Cinta aku berbalas.

Burung : Tahniah monyet! Aku doakan cinta kau tu berjaya.
Kalau makan nasi minyak tu jangan lupa jemput aku.

Monyet : Takkanlah aku nak lupakan engkau burung. Aku
akan jemput semua binatang di darat mahupun di laut.

Burung : Dapat aku bayangkan betapa meriahnya perkahwinan
kau tu engkau jangan susah hati. Urusan kad jemputan kahwin aku
yang uruskan. Aku minta kerjasama kawan-kawanku untuk
kirimkan kad jemputan kahwin kepada semua jenis binatang
yang ada di darat mahu pun di laut.

BABAK KELAPAN (JEMPUTAN)

Kad jemputan terus diedar,
Semua terkejut tiadalah sedar;
Ada yang memandang terus tersandar,
Asalkan pengantin cinta tak pudar.

Siput : Surat siapa yang kau bawa tu burung?
Burung : Ini bukan surat… ini kad jemputan kahwin.

Siput : Siapa pulak yang nak kahwin?

Burung : Monyet dengan Harimau.

Siput : (KETAWA)

Burung : Eh! Kenapa engkau ketawa?

Siput : Aku tak percaya.

Burung : Kalau engkau tak percaya… ha…
engkau baca kad jemputan kahwin ni!
(MENGHULURKAN KAD JEMPUTAN KAHWIN KEPADA SIPUT)

Siput : (TERPERANJAT) Iya betullah. Ini satu keajaiban!

Burung : Kalau dah jodoh tak ada siapa yang menghalangnya!
Itu namanya jodoh dah tersurat .

Siput : Siapa-siapa lagi yang dijemput?

Burung : Seluruh binatang di laut dan di darat.

Siput : Hebat!

Burung : Nanti, engkau jemputlah sanak saudara engkau datang ye.

Siput : Sampaikan salam aku pada monyet. Katakan aku ucapkan
tahniah dan terima kasih atas jemputannya.

Gajah : Bila ditetapkan tarikh perkahwinan monyet dengan harimau,
tu burung?

Burung : Satu haribulan satu tahun 2020.

Gajah : Tepat pada masanya. Satu tarikh yang ditunggu-tunggu oleh
semua binatang untuk meraikan satu kejayaan.

Burung : Kejayaan apa pulak tu?

Gajah : Iyalah dengan sahnya perkahwinan harimau dengan monyet
secara tidak langsung pasangan pengantin tersebut telah menyatupadukan
seluruh binatang.

Burung : Sungguh bijak engkau gajah.

Gajah : Apa engkau ingat selama ini aku bodoh ke?
Biarpun aku berbadan besar, tenaga pun besar…otak aku pun
besar juga.

Burung : (GELAK) Iyelah aku tahu engkau tu semuanya besar.

Gajah : Engkau jangan nak sindir aku pulak!

Burung : Jangan marah… aku bergurau aje.
Takkan itupun nak ambil hati. Maaf ye … aku pergi dulu…
jangan tak datang bawa saudara mara engkau ya gajah.

BABAK KESEMBILAN (GOTONG ROYONG)
Semua haiwan bergotong royong,
Sediakan pelamin pengantin tersayang;
Bergurau senda semakin matang,
Gembiranya hati semua yang datang.

Kucing : Macam mana dengan kain pelamin yang aku
buat ini cantik tak?

Itik : Apa yang engkau buat kucing semuanya cantik.

Singa : Siapa yang pilih warna?

Arnab : Siapa lagi pengatinlah. Katanya warna unggu adalah
lambang kedamaian. Penyatuan rasa cinta yang sukar dimengertikan.

Ayam : Romantik sungguh pengantin kita tu. Siapa pulak yang
mengantung lampu-lampu yang berwarna-warni itu? Sungguh cantik?

Kucing : Keluarga monyetlah. Mereka mahir dalam panjat memanjat.

Itik : Kamu semua terfikir tak bagaimana muka anak pengantin
kita nanti?

Singa : Rupa ibu dan bapak dialah!

Kucing : Rupa mounyetlah. Mau tu bapak dia dan nyet ibu dia.
(SEMUA TERGELAK BESAR)

BABAK KESEPULUH (TETAMU DATANG)

Malam dinantikan penuh debaran,
Parsandingan Pengantin Raja Rimba yang dinantikan;
Semua gembira menantikan tibanya perkahwinan,
Majlis perkahwinan yang dibanggakan.

Tetamu datang dari daratan dan lautan,
Berpakaian cantik meraikan pengantin kesayangan;
Mengucapkan tahniah penuh kesyukuran,
Kerana pengantin idola perdamaian.

Pelbagai hadiah dibawa tetamu,
Tetamu disambut dan dijamu;
Dijamu makanan pelbagai menu,
Sambil makan menantikan pengantin rasa tak jemu.

Itik : Cantiknya pasangan pengantin bagaikan pinang di belah dua.

Burung : Engkau engok tu… bintang-bintang di langit bergemerlapan
dan bertaburan di sana sini seolah-olah menyerikan lagi majlis
perkahwinan ini,mari kita tengok barang-barang hantaran harimau
kepada monyet.

Kucing : (MEMBELEK HANTARAN)
Kasut Cinderella pun ada, hai… bertuah monyet dapat bersuamikan harimau.

Itik : Entah-entah satu hari nanti pulak, engkau kahwin dengan aku.

Kucing : (KETAWA) Engkau ni mengarutlah.

Itik : (KETAWA) Dalam dunia sekarang tiada yang pelik.

BABAK KESEBELAS

(SAMBUTAN MAJLIS PERKAHWINAN DAN MASUK TAHUN 2020)

Tepat Jam 12 Malam semua bersorakkan,
Tahun baru 2020 diraikan seiring majlis pengantin;
Di langit rimba bunga apa berpecikkan ,
Meraikan Pengantin Raja Rimba yang budiman.

Pengantin diarak menuju pelamin,
Gajah membawa pasangan pengantin:
Paluan kompang bernyanyi-nyanyian,
Di malam itu penuh kemeriahan.

Duduk bersanding jeling menjeling,
Sambil menjeling tersenyum sayang;
Sayangnya pengantin kepada tetamu yang datang,
Dilemparkan senyuman mesra tanda kasih sayang.

Semua kumpulan tetamu membuat persembahan,
Dipersembahkan kepada pengantin kesayangan;
Pengantin gembira keterharuan,
Melihat persembahan yang mengasyikkan.

Perkahwinan Pengantin Raja Rimba lambang kebanggaan.
Kebanggaan penghuni rimba dan lautan;
Pelbagai kaum dapat disatukan,
Hidup aman damai dalam perpaduan.

Kancil (Wakil Haiwan): Terima kasih Pengantin Raja Rimba
yang kami sayangi. Kamu telah menyatukan penghuni
rimba yang selama ini mementingkan kaum sendiri dan
hanya mementingkan diri sendiri. Dengan perkahwinan
ini penghuni rimba dan lautan menjalani hidup bersatupadu
tolong menolong dan aman selamanya. Terima kasih Pengantin
Raja Rimba.

Harimau : (TERSENYUM SAMBIL MEMANDANG ISTERINYA)
Ucapkan terima kasih kepada isteriku . Dialah yang telah
membuka hatiku untuk kedamaian rimba ini dan kedamaian
penghuni lautan juga.

Monyet : (TERSENYUM BANGGA SAMBIL MEMBALAS
SENYUMAN KEPADA SEMUA TETAMU HADIR YANG
BERSORAKKAN PENUH GEMBIRA YANG AMAT SANGAT

(DI TAMATKAN DENGAN PERCIKKAN BUNGA API)

TAMAT

Karya: Ummu Sal
1 Januari 1995
&
1 Jun 2011

August 11 at 4:34am · Like · · Unsubscribe

Haidi Yan, Mahabbah El-ahMead and Naga Pamungkas like this.

Naga Pamungkas anaknya macam mana ya kalau monyet kawin
sama harimau hehehe

August 11 at 4:47am · Like

Ummu Sal namanya dunia sasteraku dunia sastramu
dunia sastra kita hihihi

August 11 at 4:54am · Like

Haidi Yan ?...Kancil (Wakil Haiwan): ... penghuni
rimba yang selama ini mementingkan kaum sendiri dan
hanya mementingkan diri sendiri. Dengan perkahwinan
ini penghuni rimba dan lautan menjalani hidup bersatupadu
tolong menolong dan aman selamanya. Terima kasih Pengantin
Raja Rimba... (tahun2020 "Pengantin Raja Rimba" akan dilangsungkan,
itu tidak terlalu lama lagi)

August 11 at 10:32am · Like

Ummu Sal Cuma Imaginasi penulisnya je dong pandailah
pembaca menilaikannya dan membayangkannya saat perkahwinan
di zaman itu... hehehe...apapun apa pendapatmu duhai sahabatku
tentang cerita yang kukarang itu...adakah ada nilainya atau cerita
kosong cuma...

August 11 at 10:37am · Like

Ummu Sal Terima kasih sahabatku Mahabbah...apa pendapatmu
mengenai hasil karangan ku itu nya...sudah belasan tahun tersimpan....
baru sekarang hendak bertarungkan nasib karyaku samada boleh
diterima oleh pembaca atau nggak atau aku yang suka sendiri...hehehehe

August 11 at 11:50am · Like

(PETIKAN DARIPADA DIALOG RUMAH SASTRA BORNEO)
11 Ogos 2011
Thursday at 1:19pm · Like · · Unsubscribe

Dato' Seri Zaleey Jazz, Princess Adeq Que, '
prince Mohãmmãd Shãidi Rãhmãdãn and 3 others like this.

Ummu Sal Terima kasih Dato' Seri Zaleey Jazz
kerana sudi menghargai hasil karya ini.

Thursday at 1:33pm · Like

Ummu Sal Terima kasih prince Mohammad Shaidi Rahmadan
kerana sudi menghayati karya ini. Dan terima kasih juga
rakan yang lain di (YOSC) kerana sudi menjadi sahabat fbku...
moga memberi kebaikan dunia akhirat. Amin Ya Rabbal A'Lamin.

Thursday at 6:02pm · Like

(PETIKAN DARIPADA YOUTH ONE STOP CENTRE)
15 September 2011

2 comments:

Unknown on 17 April 2015 at 16:31 said...

KREATIF....

Unknown on 17 April 2015 at 16:32 said...

UNSUR SATIRA

Post a Comment

 

BUKU KREATIF PATRIOTIK Karya Ummu Sal Designed by PERKHIDMATAN MINDA KREATIF ©