Wednesday, July 06, 2011

GAJAH


Hari itu satu mesyuarat agong KUBITAK
diadakan. KUBITAK adalah singkatan
nama kumpulan Binatang Tasik Kenyir.
KUBITAK telah diwujudkan dua puluh
dua tahun yang lalu.

Selama sudah dua puluh dua tahun
bermesyuarat agong, pada kali ini
pemilihannya begitu sengit. Ketua
Satu KUBITAK selama ini tidak pernah
tercabar tetapi pada kali ini benar-
benar tercabar.

Rata-rata mengatakan Ketua Satu KUBITAK
tidak ada harapan untuk menang justeru
mereka secara peribadi berjumpa dengan
Ketua Satu KUBITAK.

"Maafkan saya... saya ingin memberikan
cadangan kepada tuan hamba agar meletakkan
jawatan sebagai Ketua Satu KUBITAK secara
terhormat daripada gugur di mesyuarat Agong
kelak.Pihak kami akan memberi saguhati yang
amat berharga tanda terima kasihnya kami
terhadap pengunduran tuan hamba," kata wakil
KUBITAK.

"Tidak...! Hamba tidak akan mengundur diri
walau apapun yang disogokkan. Hamba
berjuang bukanlah kerana material tapi
adalah minat yang terlalu mendalam,"
tegas Ketua Satu KUBITAK.

"Tapi... tuan hamba telah memegang jawatan
Ketua Satu KUBITAK sejak bermula KUBITAK
ditubuhkan, banyak rungutan daripada
para ahli yang didengari iaitu tiada
membaharuan dalam KUBITAK masih di takuk
lama, tuan hamba kena faham itu.Tuan hamba
pun sudah tua, janganlah terlalu tamak...
berilah peluang kepada ahli lain untuk
menerajuinya."

"Tidak! Hamba akan tetap bertanding walaupun
hamba kalah dalam pengundian kelak. Tapi
hamba yakin hamba boleh menang."

Ketua Satu KUBITAK sedar kedudukannya kini
tegang kerana dia terpaksa bersaing dengan
wakil dari RASAKSA iaitu kumpulan gajah.

Desas desus yang didengari bahawa besar
kemungkinan wakil RASAKSA akan menang kerana
dalam banyak perkara RASAKSA banyak membantu
kumpulan binatang lain dari segi material.

Dalam zaman sekarang idea saja tidak mencukupi
jika tiada kekuatan yang kukuh. Telah banyak
jasa yang ditaburkan oleh Ketua Satu RASAKSA
kepada ahli-ahli bawahannya. Begitu juga
kepada ahli-ahli binatang yang lain.

Mesyuarat Agong KUBITAK dirasmikan oleh
Yang Mulia Merak. Sebelum Yang Mulia berucap
Ketua Satu KUBITAK memberi ucapan.

Ucapan kali ini amat berbeza sekali jika
dibandingkan ucapan tahun-tahun sebelumnya.
Ucapannya banyak berbaurkan sindiran sinis!
Memuji diri dari apa yang telah dikorbankan
selama ini, kekecewaan kerana ada pencabarnya
lebih-lebih lagi jika dia tewas bererti tewasnya
nanti sebagai mati seorang pejuang. Ucapannya
hampir memakan masa empat puluh lima minit.

"Ini nak berucap ke atau nak berkempen?" bisik
salah seorang pemerhati dari kumpulan seladang.

"Agaknya dia sudah kelewatan!" jawab rakannya.

"Engkau agak siapa yang menang?"

"Rata-rata mengatakan RASAKSA yang menang!
Di akhbar-akhbarpun mengatakan RASAKSA boleh
menang mengikut dari ramalan wakil yang
mengundi."

"Engkau tengok sejak dia memerintah selama
dua puluh dua tahun mana ada perubahan dalam
KUBITAK. Sepatutnya setiap tahun dia mesti
menerima cadangan-cadangan para perwakilan
tapi tidak! Cadangan perwakilan hanyalah
mencurah ke daun keladi! Cadangannya...hanya
untuk jenis binatang yang sealiran dengannya
hingga dia dikurniakan darjah kebesaran."

"Engkau dengar tu... untuk menerajui tampuk
pemerintahan mestilah mempunyai ilmu yang
kukuh kalau hanya gagah tidak akan sempurnalah!"

"Mentang-menanglah dia tu kancil yang bijak
dia tidak langsung memahami perasaaan gajah."

"Gajah dulu bukan gajah sekarang! Gajah sekarang
di samping mempunyai kekuatan, dia juga mempunyai
pengaruh yang besar untuk menaikkan nama KUBITAK
yang selama ini tidak dikenali ramai di kalangan
manusia. Kerana daya usaha gajahlah Tasik Kenyir
yang selama ini tidak dikenali ramai menjadi
tumpuan para pelancong. Dulu binatang-binatang
di sini menjadi buruan manusia tapi kini dilindungi
dan menjadi tontonan manusia."

Setelah Ketua Satu KUBITAK habis berucap,
Yang Mulia Merak pula berucap.

Antara ucapannya sedia memberi sokongan kepada
setiap aktiviti yang diadakan oleh KUBITAK dan
sedia membantu jika ada masalah yang hendak
diselesaikan. Yang Mulia dengan senang hati
menghadiahkan kepada KUBITAK sebuah Taman Bunga
seluas dua ratus hektar untuk ahli-ahli KUBITAK
beristirehat tanpa diganggu oleh manusia.
Beliau juga berharap KUBITAK akan terus maju
untuk mengharumkan nama Tasik Kenyir.

Mahupun pihak perwakilan dan pemerhati begitu
resah tidak sabar-sabar lagi menantikan keputusan.
Melihat dari suasana itu rata-rata mengatakan kancil
akan tewas yang menang gajah. Melihat dari air muka
kancil yang resah ternyata dia akan tewas manakala
gajah begitu yakin akan menang kerana penyokong-
penyokongnya begitu banyak.

Pengundian dijalankan secara tertutup. Setelah selesai
pembuangan undi, mereka berehat selama satu jam setengah.
Masing-masing bercerita sesama sendiri mengatakan kancil
akan tewas kali ini. Jika kancil tewas bererti banyaklah
perubahan KUBITAK akan berlaku secara mendadak.

Semua jenis binatang baik besar mahupun kecil akan sedia
diberi bantuan baik dari segi moral mahupun materiel agar
tidak ketinggalan untuk dikenali sebagai binatang popular.
Itulah janji gajah sekiranya dia menang.

Tibalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu pengumuman siapakah
yang dipilih oleh perwakilan untuk menerajui Ketua Satu
KUBITAK yang baru.

Semuanya seperti terpaku apabila diumumkan kancil menang
42 undi manakala kajah 15 undi, undi rosak 1. Seakan tak
percaya dengan keputusan itu. Tapi itulah yang benar.
Suasana yang riuh pada awalnya menjadi muram. Seakan mereka
tidak dapat menerima dengan keputusan itu.

Jelas terbayang di wajah masing-masing kekecewaaan.
Yang mana kecewa lekas-lekas keluar dari situ.
Tidak mahu lebih lama.

Kancil tersenyum lebar apabila diumumkan sebagai pemenang.
Tapi hatinya Tuhan saja yang tahu betapa bimbangnya dia di
awal pertarungan. Kini dia boleh meneruskan perjuangannya
kembali. Barangkali dia akan membuat perubahan kerana dia
takut peristiwa ini berulang kembali.

"Saya dari kumpulan seladang ingin mengatakan yang kalah
tak semestinya ia tewas! Dan yang menang tak semestinya
ia berjaya, justeru marilah kita sama-sama berganding
bahu untuk berkerjasama di antara satu sama lain.
Janganlah jadikan pertandingan ini sebagai jalan untuk
menuju perpecahan sesama sendiri. Jadikan pemilihan pada
hari ini sebagai ikhtibar di masa-masa akan datang."

Ketua Satu RASAKSA keluar dari dewan. Di wajahnya tidak
langsung menampakkan kekecewaan. Beberapa wartawan dari
pelbagai media massa meluru kepadanya.

"Apa pendapat tuan hamba mengenai kegagalan tuan hamba
menjadi pucuk pimpinan?" Tanya merbuk dari akbar Burung.

"Ini menandakan bahawa ahli KUBITAK tidak mahu adanya
perubahan," jawabnya tenang.

"Adakah tuan hamba akan memberikan kerjasama kepada KUBITAK?"
sampuk zirafah wartawan dari majalah, "ZIRA"

"Iya hamba akan memberikan kerjasama kepada KUBITAK
walaubagai manapun idea yang ingin hamba serapkan kepada
KUBITAK akan hamba serapkan kepada RASAKSA juga. Hamba buat
begini asalkan dapat mempopularkan binatang-binatang
Tasik Kenyir keseluruhannya."


Karya: Ummu Sal
15 Febuari 1997

0 comments:

Post a Comment

 

BUKU KREATIF PATRIOTIK Karya Ummu Sal Designed by PERKHIDMATAN MINDA KREATIF ©