Tuesday, May 31, 2011

BUKU KREATIF PATRIOTIK KARYA UMMU SAL TERBITAN PERKHIDMATAN MINDA KREATIF


Adalah buku-buku kreatif yang bertema patriotik  yang bermotifkan untuk memupuk
semangat cintakan Negara di jiwa rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Di samping itu mengajak  pembaca menghayati Rukun Negara secara kreatif dan mencintai
Negara lebih daripada kepentingan sendiri.

Secara tidak langsung menyahut seruan kerajaan bagi melahirkan modan insan  berminda
kelas pertama.

KUALITI BUKU:
Buku-buku telah dibuat kaji selidik kepada pembaca pelbagai peringkat  umur, bangsa dan
taraf pendidikan.

Ternyata mendapat maklumbalas positif dan diyakini mendapat sambutan apabila berada
di pasaran kelak.

OBJEKTIF PENERBITAN PERKHIDMATAN MINDA KREATIF:

1.    Memupuk semangat patriotik di jiwa rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah lagi.
2.    Menjadi  bahan sejarah yang diolah secara kreatif untuk generasi kini dan akan datang.
3.    Menyampaikan  mesej melalui sastera kreatif dalam bentuk puisi, pantun,syair, cerita, drama pentas dan  Poskad  Ucapan Hari Kemerdekaan.
4.    Mempertabatkan Bahasa Kebangsaan.
5.    Membuktikan Bahasa Kebangsaan dapat menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia.
6.    Terpanggil untuk Cemerlang Bersama Jalur Gemilang.
7.    Memahami Rukun Negara Secara  Kreatif di minda rakyat Malaysia.
8.    Menghargai Keamanan Negara.
9.    Mempromosikan  Gagasan 1Malaysia melalui buku PM KE- 6
10.  Menghargai jasa pemimpin  6 Perdana Menteri Malaysia

MOHON SOKONGAN RAKYAT MALAYSIA:
Memandangkan kos penerbitan dan percetakan terlalu tinggi kami terpaksa meletakkan harga yang agak tinggi sedikit  bagi menyokong usaha kami ke arah merealisasikan impian kami untuk menerbitkan kesemua  tajuk buku kreatif patriotik yang ada dalam simpanan dan cita-cita kami untuk memiliki sebuah Galeri Patriotik  menjadi kenyataan.


TAJUK BUKU:
PM KE-6       -          RM 50.00   senaskah termasuk kos pos
                                  (Buku bertemakan 1 Malaysia puisi bergambar -  kulit nipis)

BUDIMU DALAM LIPATAN HATIKU!   -    RM 100.00 senaskah  termasuk kos pos
                (Buku bertemakan budi Tun Dr Mahathir puisi bergambar  – kulit tebal)

POSKAD UCAPAN HARI KEMERDEKAAN  -   RM 3.00 sekeping  temasuk pos.

Berminat untuk tempahan buku sila emelkan ke :  ummusal_patriotik@yahoo.com.my

*Segala sokongan rakyat Malaysia untuk menjayakan cita-cita ini, amatlah dihargai
 dan diucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga dan akan dikenang selagi hayat
di kandung badan!

Buku terbitan yang akan datang dalam perancangan untuk melengkapkan koleksi
Buku 6 Perdana Menteri Malaysia:

1.    Syair Bapa Kemerdekaan Malaysia
2.    PM KE-2 Tun Abdul Razak
3.    Pantun Tun Hussein Onn
4.    Pemimpin Negara  Sanjungan  Rakyat


Di sini dipaparkan  puisi, pantun, syair, skrip drama pentas dan cerita kanak-kanak
Patriotik karya Ummu Sal istimewa untuk rakyat Malaysia yang cintakan Negara.

Tuesday, May 24, 2011

ROH PERLUKAN AMALAN DITERIMA ALLAH


Apabila kita bercakap tentang roh
sebenarnya roh sesama roh
sedang berkomunikasi
walaupun pada ketika itu
kita berada dalam keadaan normal.

Kenapa harus takut apabila bicara tentang roh?
Mahu tak mahu kita akan bergelar roh!
Cuma tidak tahu bilakah
tarikhnya,
harinya,
saatnya dan detik bila?

Apabila bercakap tentang roh...
Dikatakan seram sejuk... takut!
Seram sejuk takut di dunia ini
boleh diselimuti...
Tapi seram sejuk di alam kubur?
Jawapannya roh perlu diselimuti
amalan yang diterima Allah.


Karya: Ummu Sal
25 Mei 2011

Monday, May 23, 2011

PANTUN SAHABAT DUNIA AKHIRAT


Kata ibu aku anak yang nakal,
Pening kepala ibu melayani kerenahku;
Bukan niatku menjadi nakal,
Sudah lumrah kanak-kanak begitu.

Kesusahan keluarga tidak kupeduli,
Kerana ibu dan ayah terpisah sudah;
Aku bersedih kenapa nasibku begini,
Kebahagiaan keluarga semuanya musnah.

Biarpun ibu dan ayah tidak sehaluan,
Namun kumasih harap mereka bersatu;
Kuberjauhan setiasa rindu-rinduan,
Demi kasih dan sayang rasa tak jemu.

Rasa bahagia tinggal di sini,
Rumah Anak Yatim Madrasah Al-Taqwa;
Hidup kami saling sayang menyayangi,
Azam kami menjadi hamba bertaqwa.

Abang Zaid baik budi,
Kami dilayan seperti keluarga sendiri;
Hari-hari berbunga kasih suci,
Hingga ke mati tidak dilupai.

Kami bergurau senda setiap hari,
Bersenda gurau tidak terguris hati;
Bersahabat saling hormat menghormati,
Demi kerana Allah dicintai.

Setiap hari membaca Kalam Allah,
Memejam mata menghafal Al-Quran;
Ayat dibaca hafallah sudah,
Gembiranya hati dalam kesyukuran.

Baca Al-Quran berjubah dan berserban putih,
Berwangi-wangian setiap hari;
Hafalan Al-Quran menjadi mudah,
Gembiranya hati tidak terperi.

Solat berjemaah setiap waktu ,
Setiap seorang berpeluang menjadi imam;
Gembiranya kami apabila sampai waktu,
Syahdu sungguh mendengar suara imam.

Waktu Maghrib aku mengalunkan azan,
Penghuni bumi dan langit syahdu mendengar;
Gembiranya aku mengalunkan azan,
Doa penghuni bumi dan langit aku bersyukur.

Ustaz mengajar kami penuh kasih sayang,
Kami dianggap seperti anak sendiri;
Dunia akhirat kami ingin cemerlang,
Belajar bersungguh-sungguh setiap hari.

Kusayang abang dan adik-adik,
Di Rumah Anak Yatim Dan Kebajikan Madrasah Al-Taqwa;
Hidup kami seperti adik beradik,
Moga kami menjadi insan bertaqwa.

Suatu hari Amizan menelefon bapa,
Minta belikan beg sandang;
Setiap hari menunggu bapa,
Redha Amizan bapa tak datang.

Bilik kami dihias indah,
Dipenuhi dengan kad ucapan Hari Ibu;
Kata-kata maaf dan sayang penuh bermadah,
Hingga ke Syurga kami sayangkan ibu.

Kusayang adikku Iman sepenuh hati,
Iman mahukan jam dan minyak wangi;
Kuhadiahkan Iman sukanya hati,
Dipakai Iman setiap hari.

Sukanya hati kami dapat perhatian,
Daripada FINAS untuk raikan kami;
Kami gembira dalam kesyukuran,
Kerana ada yang sudi mengingati kami.

Berqiamulail kami di malam itu,
Syahdu sungguh abang Zaid membaca Al-Quran;
Kami semua menangis tersedu-sedu,
Menghayati Kalam Allah dalam kesyahduan.

Selepas solat kami berzikir,
Sambil berzikir menangis hiba;
Hal dunia kami tak fikir,
Melainkan Allah yang dipuja.

Habis berzikir kami bermaaf-maafan,
Sambil bermaafan berpelukan dalam tangisan;
Serasa kami tidak mahu dipisahkan,
Kalau sudah takdir kami redhakan.

Hari itu kami bersiap menyambut tetamu,
Tetamu yang dihormati lagi disayangi;
Sikap penyayang mereka sudahlah tentu,
Bertuahnya kami hidup disayangi.

Kemeriahan menyambut tetamu bertukar duka,
Kami berpelukan sesama sendiri;
Berzikir kami penuh hiba,
Relakan kami sehidup semati.

Sahabatku separuh badan ditelan bumi,
Menyuruhku selamatkan diri;
Aku menangis melihat sahabatku mati,
Moga dirimu Syurga menanti.

Sahabatku ditelan bumi bersama adikku,
Kusempat mencapai tangan adikku Iman,
Tapi apa nak buat cepatnya berlaku,
Pergi adikku Iman kulaungkan azan.

Duhai sahabat-sahabat dan adikku sayang,
Kalian dikebumikan dalam liang lahad yang sama;
Kenangan bersama terbayang-bayang,
Tunggulah kedatangan ku ingin bersama.

Pemergian kalian kutangisi dalam redha,
Kenangan bersama kuabadikan hingga ke mati;
Gembiralah kalian menikmati Syurga,
Sesungguhnya Allah memberimu darjat yang tinggi.

Karya: Ummu Sal
22 Mei 2011
(Sempena Memperingati Pemergian 16 Orang Pelajar
Rumah Anak Yatim & Kebajikan Madrasah Al-Taqwa.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka)

SYAIR SASTERA PEJUANG RAKYAT


Tersebutlah kisah suatu cerita,
Malaysia negaraku yang tercinta;
Rakyat pelbagai kaum hidup bersama,
Merealisasikan impian demi Negara.

Saling menghormati bersatu hati,
Tolong menolong amalan murni;
Tiada rasa berdengki hati,
Semua kerana Malaysia dicintai.

Melayu Cina India dalam perpaduan,
Bersatu hati merealisasi impian;
Berganding bahu bersama kerajaan,
Jadi realiti Negara berperlembagaan.

Jika Negara kucar kacir,
Nasib rakyat sentiasa tercicir;
Kerajaan dibina menjadi hancur,
Angkara rakyat selalu engkar.

Ingatlah peristiwa 13 Mei,
Rusuhan kaum sentiasa diingati;
Berpadulah demi Malaysia disayangi,
Agar 13 Mei tidak berulang kembali.

Kalau diingat perjuangan Tunku,
Perjuangannya tak pernah jemu;
Kemerdekaan dicapai gembiranya Tunku,
Biarpun mengharungi perjuangan berliku.

Tunku Abdul Rahman seorang bijaksana,
Menuntut kemerdekaan gunakan minda;
Bijak berkomunikasi terpegunnya mereka,
Mereka istiharkan Malaysia merdeka.

Begitu juga berbincang dengan komunis,
Tunku bincang dengan cara harmonis;
Hinggakan mengalah ketua komunis,
Menjadi legenda kenangan manis.

Pemimpin berjiwa rakyat itu yang dimahu,
Biarpun lama rakyat menunggu;
Sabar menunggu tak pernah jemu,
Asalkan pembelaan rakyat tertunai itu dimahu.

Bukan tak ada pemimpin berjiwa rakyat,
Sentiasa ikhlas mengurus masyarakat;
Jiwa kental sentiasa muafakat,
Berkorban apa saja demi rakyat.

Rakyat susah pemimpin ambil peduli,
Pemimpin bersara rakyat hargai;
Rakyat dan pemimpin bersatu hati,
Barulah aman Negara ini.

Rakyat dan pemimpin seia sekata,
Apa masalah rakyat dikongsi bersama;
Masalah diatasi dengan bijaksana,
Barulah rakyat dan pemimpin boleh bekerjasama.

Kesusahan rakyat masalah pemimpin,
Selagi tak selesai pemimpin fikirkan;
Sanggup berpening memikirkan,
Asalkan masalah rakyat dapat diselesaikan.

Permintaan rakyat untuk rakyat,
Pemimpin usulkan di Dewan Rakyat;
Didengari semua wakil Rakyat,
Apabila tertunai sukanya rakyat.

Rakyat Malaysia harus bersatu,
Demi kerana Malaysia yang satu;
Negara aman berkat bersatu,
Syukur generasi kini dan terdahulu.

Sama-sama merealisasikan impian,
Majunya Malaysia dalam pemodenan;
Semua rakyat saling memahami dalam perpaduan,
Demi kerana Malaysia mencapai kecemerlangan.

Terharu sungguh mendapat pembelaan kerajaan,
Setiap denyut nadi rakyat cuba difahamkan;
Rakyat gembira apabila ditunaikan,
Seorang pejuang rakyat sentiasa ke hadapan.

Terima kasih duhai kerajaan,
Pembelaan rakyat sentiasa diutamakan;
Memerintah kerajaan dalam kesamarataan,
Tiada yang tercicir semua dibangunkan.

Sekian sahaja syair dipersembahkan,
Semoga terhibur semua mendengarkan;
Ada yang tersalah harap dimaafkan,
Moga semua merealisasikan sebuah harapan.

Karya: Ummu Sal
24 Mei 2011

Friday, May 20, 2011

PUISI BELIA HARAPAN NEGARA


Beliaku…
Negara perlukanmu…
Justeru… Bangunlah dari lenamu…
Sedarlah dari lekamu…
Sedarlah dari lalaimu..
Mari kubimbingmu... Menuju kejayaan!

Jangan ada rasa rendah diri…
Jangan ada rasa kecewa…
Berubahlah demi…
Dirimu… Keluargamu… Negaramu… Pewarismu nanti.

Aku percaya kau boleh berjaya…
Jika semangat kentalmu datang…
Aku menantimu di sini…
Bersama azammu untuk berjaya…
Justeru daftarlah sekarang untuk menjadi ahli belia.
Segalanya akan berubah! Percayalah!
Kerana kau adalah harapan negara!

Karya: Ummu Sal
15 Mei 2010
(Sempena Hari Belia Negara )

Wednesday, May 18, 2011

Cerpen Karyaku! Duniaku!


Aku masih ingat lagi ketika itu aku baru berusia
lapan tahun. Ketika itu aku belajar di Sekolah
Kebangsaan Telok Kemang, Port Dickson Negeri
Sembilan. Apabila cikgu tanya apakah cita-citaku,
aku katakan ingin menjadi pengarang terkenal,
semua gelakkan aku kerana aku tidak sepandai
mereka.

Aku menangis teresak-esak kerana malu ditertawakan,
cikgu Mariam memujukku dan memarahi kawan-kawan
yang mentertawakan aku.

Satu hari cikgu Mariam menyuruh ketua darjah menampal
karya cerita bergambarku di dinding bilik darjah.Cerita
bergambar itu bertajuk,‘Pak Dolah Penjual Sate’. Betapa
gembiranya aku ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu.
Aku bangga dengan diriku.

Ketika darjah lima aku suka benar membaca buku sastera
kakakku tingkatan enam. Aku minat sangat dengan bahasa-
bahasa yang digunakan pengarang, di samping kupinjam
buku cerita daripada kawan-kawan sekolahku.

Aku masih ingat lagi ketika aku di tingkatan empat aku
berjinak-jinak menulis novel pendek, selepas tulis aku
memberi kawanku membacanya.Aku bertambah taksub apabila
kawan-kawanku membaca mengalirkan air mata penuh emosi.
Hari-hari mereka menunggu kisah selanjutnya.Bertambahlah
taksub aku mengarang.

Seingat aku novel remaja yang kukarang itu tamat ceritanya
setelah hampir lima tahun. Hingga kini masih ada dalam
simpananku hampir lebih 30 tahun bertajuk,’RATINA’

Yang bertuahnya skrip novel itu telah disemak oleh guruku
pada ketika itu Anwar Ridhwan. Ketika itu aku menghadiri
kursus penulisan anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan
(PEN). Sekarang guruku telahpun menjadi Sasterawan Negara
bergelar Datuk.

Setelah menghadiri kursus penulisan aku semakin taksub
untuk menghadiri apa-apa jua kursus penulisan anjuran
mana-mana pertubuhan penulisan, kalau dikira hampir
puluhan kursus penulisan aku telah pergi menghadiri ,
ramai guru-guruku yang kini telah bergelar Sasterawan
Negara, kalungan tahniah kuucapkan biarpun agak lewat.
Terima kasih juga kepada guru-guruku yang lainnya.
Jasa kalian mengajar aku dan mencurahkan segala ilmu
penulisan yang amat kuminati sejak di bangku sekolah
lagi begitu terkesan dalam jiwaku hingga saat ini.

Kepada kawan sepenulisanku Zaharuddin sesungguhnya aku
terhutang budi kerana beria-ia sangat ingin karyaku
disiarkan di syarikat penerbitan buku. Atas usahanya
karyaku berjaya di terbitkan. Setelah lima belas tahun
berlalu karya novel kanak-kanak bertajuk.'Tangan Emas'
diulang cetak dalam versi yang baru.

Ada satu cerita lucu yang masih kuingat hingga saat
ini,apabila kawan sepenulisan aku mengatakan namaku
sebaris dengan penulis-penulis tanah air terbitan
Dewan Bahasa Dan Pustaka. Apabila dapat tahu aku
segera memcari buku tersebut dan ternyata memang
tercatat namaku. Seakan nak runtuh dunia ini,tidak
percaya betulkah aku itu? Tapi hakikatnya memang
betul.

Ada satu lagi cerita lucu yang masih kuingat, masa itu
tingkatan lima, “Rabeah ni mengarang surat ke jabatan
kerajaan macam hantar surat kepada kekasih berbunga-
bunga bahasanya,” kata cikgu Nordin ketika mengajar
mata pelajaran Bahasa Malaysia. Aku tersipu-sipu malu
dan kawan-kawan apa lagi gelak habis-habisan.

Baru aku tahu setiap kali aku menghantar surat kepada
jabatan kerajaan aku akan tersenyum sinis sendiri
mengingati kata-kata cikgu Nordin.

Ketika menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53 aku menghantar
poskad kemerdekaan yang aku hasilkan sendiri kepada
Sultan-Sultan dan Pemimpin Kerajaan dengan ucapan
‘Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-53 Semoga
Malaysia Tercinta Terus Gemilang!
Hargai Kemerdekaan! Merdeka Selamanya!

Aku menghantar juga kad ucapan Selamat Hari Raya
Aidil Fitri dan aku karangkan serangkap pantun
yang kutujukan khas untuk sultan dan pemimpin .
Gembiranya hati tidak terkira apabila sultan dan
pemimpin membalas kad ucapanku.
Aku terharu hingga saat ini. Siapalah aku.
Aku pamerkan kad tersebut di Galeriku.

Aku masih ingat lagi di alam persekolah apabila pergi
bersama arwah ayahku ke pasaraya pasti aku akan membeli
berbatang-batang ball pen dan buku nota hingga ibu dan
ayahku menggelengkan kepala.

“Bie…baru bulan dulu dah beli…takkan dah habis
dakwat?” tegur ibuku. Aku tersengeh-sengeh
memandang ayahku. “Ala…takkan awak tak tahu
anak awak tu pengarang… ha…banyak mengarang
cepatlah habis dakwat.”Ibuku tidak terkata apa.
Ibu pun tersenyum juga akhirnya.

Kerana taksub dengan pen , beg tangan yang ingin
kubeli kupastikan ada poket di luar senang hendak
kuaturkan dengan deretan ball pen yang pelbagai
jenis dan warna. Bukan nak menayang tapi aku puas
melihat deretan pen seolah-olah rugi aku tidak
mencapainya untuk berkarya jika ilham datang.

Saat yang tidak dapat kulupakan hingga saat ini
apabila arwah ayahku menghadiahkan aku sebatang
pen berjenama ‘ Parker”. Sukanya hatiku saat itu
bukan kepalang. Kucium pipi ayah tanda terima kasih
yang tidak terhingga. Ayah memang seorang yang
penyayang dan memahami.

Ibuku pula bila nampak karyaku tersiar di dada akhbar
dialah yang menayangkan karyaku kepada semua orang
yang ditemuinya. Nak kata macam mana? Ibu peminat
nombor satu setelah ketiadaan ayahku.

Kadang-kadang aku pun tertanya-tanya pada
diriku, “Betul ke aku ini seorang pengarang?
Aku ni bukan pelajar lulusan universiti , ah!
Tak kisahlah yang penting aku minat dengan
duniaku mengarang dan terus mengarang.

Aku masih ingat lagi, ketika aku menghadiri
kursus penulisan selama tiga hari , akulah yang
sibuk-sibuk mengutip hasil karya teman-teman
sekelas untuk dijadikan buku hasil karya penulis
yang menghadiri kursus.Dan apabila jadi buku kuhantar
kepada penganjur untuk dijadikan bahan rujukan dan
koleksi.

Dalam kelas akulah peserta yang paling banyak bertanya.
Selagi tak faham aku akan tanya hinggakan perceramah
tidak kering gusi hendak menjawab. Nak pandai mesti
banyak bertanya.

Masa rehat , aku mengambil kesempatan bertanya
dengan guruku yang kini bergelar sasterawan Negara,
ketika itu aku sedang menyiapkan buku cerita kanak-
kanak bertajuk, “ Putera Duyung”, hasil tunjuk ajar
dan buah pemikirannya aku berjaya menyiapkan
buku tersebut dengan begitu baik sekali.

Aku mendapat ilham menghasilkan, ’Putera Duyung’ ketika
itu aku pergi lawatan sambil belajar di Indonesia ditaja
oleh kerajaan Negeri Sembilan. Terima kasih kerajaan
Negeri Sembilan yang ketika itu Menteri Besar Tan Sri
Isa Samad tanpa sokonganmu siapalah aku.
Benarlah kata pepatah,“Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan”.

Cerita “Putera Duyung” bagiku amat unik dan jika dijadikan
filem animasi akan menjadi filem animasi yang hebat.
Aku pernah menjalankan kaji selidik buku Putera Duyung ,
kanak-kanak amat menggemarinya. Kerana terlalu minat
dengan cerita Putera Duyung yang merangkak membaca
terus pandai membaca. Lucu sekali. Bagaimana kepuasan
penulis menghasilkan karya, begitulah kepuasan pembaca
bila membaca karyaku.

Nak dikatakan aku ni syok sendiri tidak juga, kerana
setiap karyaku akan aku jalankan kaji selidik kepada
ribuan pembaca terdiri daripada pelbagai peringkat
umur, taraf akedemik dan kaum. Semua komen-komen
yang aku perolehi amat mengejutkan, membuatkan aku
bertambah yakin dengan karyaku jika diterbitkan akan
mendapat sambutan di luar dugaan.

Bukan nak membangga diri atau angkat bakul sendiri
tapi sekadar beri semangat kepada diri sendiri yang
dah lewat usia ni masih lagi berangan-angan nak jadi
pengarang.

Angan-anganku untuk mengadakan galeri hasil karyaku
sejak tiga puluh tahun yang lalu kini tercapai,
walaupun tidaklah se gah mana tapi aku puas dengan
galeri karyaku itu. Sijil-sijil kursus penulisan
yang pernah aku hadiri dan surat-surat sokongan
yang aku perolehi daripada jabatan kerajaan dan
swasta menghiasi keseluruhan dinding galeri karyaku.

Rak buku penuh dengan hasil karyaku yang telah
kuhasilkan sejak tiga puluh lima tahun yang lalu.
Semua hasil karya belum diterbitkan mana-mana
penerbitan. Cuma satu dua saja yang diterbitkan.
Sedar tak sedar aku sendiri yang menjadi penerbit
untuk karyaku sendiri.

Pernah aku iklankan di akhbar mencari rakan kongsi
atau pelabur untuk projek hasil karyaku tetapi hingga
kini masih gagal. Aku ingatkan nak kongsi keuntungan
bersama tapi mereka kata karyaku terlalu ringkas dan
tidak sesuai.

Walaupun mereka tidak terimaku sebagai rakan kongsi
perniagaan, ada kebaikan di sebaliknya apabila setiap
kali berjumpa dari seorang ke seorang, idea aku
bercambah. Kertas kerja dari muka surat yang sedikit
lama-lama menjadi ribuan muka surat.

Mana tidaknya segala idea dan kaji selidik pembaca ada
di kertas kerjaku, kerana terlalu tebal, cuma aku dapat
bukukan lima ratus muka surat.Kertas kerja itu (mengenai
ideaku 'Kota Buku Karyaku Duniaku' di jadikan sebagai
produk perlancongan negara) kuhantar kepada Perdana
Menteri dan Menteri-Menteri yang berkaitan dengan kerja
seniku untuk dinilai bagi pihak rakyat Malaysia yang
menyokong penuh untuk direalisasikan kerajaan Malaysia.

Namun begitu terpulanglah kepada kerajaan Malaysia,
bagiku, aku telah mejalankan tanggungjawabku kepada
rakyat Malaysia dan negara tercinta. Kalau diterima
inilah sumbanganku kepada negara tercinta.

Apapun aku yakin dengan karyaku kerana hasil daripada
kaji selidik kepada ribuan pembaca dan surat sokongan
yang aku perolehi mengatakan karyaku berkualiti dan
akan memberi impak yang besar dalam dunia perbukuan
negara di samping dapat memupuk minat membaca kepada
rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah lagi.

Sekarang ini pemikiranku masih lagi segar membayangkan
aku telah memiliki sebuah , “Kota Buku” yang di dalamnya
ada semua hasil karyaku. Setiap tajuk buku ada produknya
tersendiri, seperti drama pentas, arca, filem animasi ,
setiap watak kartun yang ada dalam hasil karya ada
permainan kanak-kanak.Secara tidak langsung apabila mereka
membeli, seolah-olah mereka ada dalam dunia karya yang aku
hasilkan itu.

Satu tajuk buku ada lokasinya dan kalau ada lima puluh
tajuk buku seluas mana “Kota Buku” tak dapat hendak
aku bayangkan. Puaslah pecinta karyaku untuk menghayati,
‘Kota Buku” yang aku angankan itu.

Ini cuma bayangan yang ada di kotak pemikiranku .
Kalaulah benar impianku ini menjadi kenyataan pasti
tika itu, “ Karyaku! Duniaku! Dapat dikongsikan
bersama mereka yang meminati karyaku dan akulah
insan yang paling bahagia di dunia ini. Berbaloilah
segala usaha dan pengorbanan apa yang aku perjuangkan
selama puluhan tahun ini. Dan Kota Buku ini akan aku
wariskan untuk generasi dan negaraku yang tercinta!

Jika ini cuma bayangan dan tidak menjadi kenyataan
aku redha dengan ketentuanNya. Aku puas dengan
kehidupanku ini kerana aku menghabiskan usiaku
dengan,“Karyaku!Duniaku! I

Karya: Ummu Sal
1 Januari 2011

Sunday, May 15, 2011

PANTUN ANAKANDA TERSAYANG AYAHANDA TERCINTA


Anakanda yang disayangi dunia akhirat,
Anakanda pengikat kasih ayahanda bonda;
Kelahiranmu membuatkan kasih bertaut erat,
Moga menjadi anak kebanggaan ayahanda bonda.

Pembesaranmu setiap tahun ayahanda pastikan,
Anakanda mempelajari Hadis dan Al-Quran;
Mindamu terisi dengan ilmu yang tidak menjemukan,
Berusaha terus berusaha menuju kejayaan.

Ayahanda akan terus memimpin anakanda,
Mendidikmu berpandukan Al-Quran dan Hadis;
Agar menjadi khalifah Allah duhai anakanda,
Pasti ayahanda dan bonda bersyukur terus-menerus.

Semakin banyak waktu ayahanda berkongsi,
Semakin anakanda bersedia menghadapi masa hadapan;
Anakandalah harapan ayahanda tanpa sangsi,
Ayahanda sentiasa letakkan sejuta harapan.

Sekalipun anakanda tidak mampu melangkah ke hadapan,
Ayahanda akan terus membimbingmu;
Agar anakanda berani menghadapi segala rintangan,
Yang datang mengujimu dari segenap penjuru.

Anakanda pergilah semampu sejauh mungkin,
Memburu impian menggapai cita-cita;
Ayahanda bonda sentiasa memberi sokongan,
Agar menjadi realiti segala yang dicita.

Capai setinggi mana mungkin cita-citamu,
Ilmu yang dituntut jangan sekali rasa jemu;
Kegagalan tidak akan pernah bertamu,
Kejayaanmu kebanggaan ayahanda bondamu.

Dalam menuju segala kejayaan,
Cahaya keimanan amat diperlukan;
Allah jangan sekali dilupakan,
Barulah cahaya hidayah menjadi peneman.

Kasih sayang ayahanda tidak pernah luntur,
Ayahanda rela berkorban apa saja untukmu;
Asalkan anakanda cekal dan sabar,
Kerana sabarmu mengundang Rahmat dari Tuhanmu.

Apabila segala ilmu terpasak di dada,
Pasti anakanda sendiri melepaskan tangan ayahanda;
Dan tika itu ayahanda tersenyum bangga,
Melihat anakanda menyambung perjuangan ayahanda.

Anakanda… buah hati ayahanda pengarang jantung,
Ingatlah pesanan ayahanda dan bonda ini;
Jadilah anak soleh berjiwa pejuang,
Moga kita sekeluarga ke Syurga nanti.

Ayahanda dan bonda tersayang,
Kasih sayangmu anakanda tak akan persiakan;
Anakanda berjanji akan menjadi anak cemerlang,
Menjadi anak soleh beriman yang dibanggakan.

Anakanda hargai pengorbanan ayahanda ,
Tanpa jemu mendidik membimbing anakanda;
Moga Allah membalas segala budi ayahanda bonda,
Alhamdulillah anakanda diKurniakan ayahanda bonda.

Ayahanda dan bonda yang disayangi,
Anakanda akan berazam mencapai cita-cita;
Meneruskan perjuangan ayahanda yang suci murni,
Membela agama bangsa dan Negara tercinta.

Anakanda sentiasa bangga dengan ayahanda,
Ayahanda pemimpin idola anakanda;
Membela agama dan bangsa walau di mana,
Hatimu putih bersih bak mutiara.

Perjuangan ayahanda tepat dan jelas,
Rela berkorban demi rakyat tercinta;
Segala jasa dicurah tanpa harap dibalas,
Demi kerana Allah tercinta.

Bangganya anakanda ayahanda seorang pejuang,
Rela pertaruhkan nyawa di setiap penjuru;
Moga sentiasa berjaya ketika berjuang,
Darah perjuanganmu mengalir dalam darah anakandamu.

Doakan anakanda menjadi pejuang sejati,
Mewarisi kepahlawanan ayahanda tercinta;
Kita berjuang hingga ke mati,
Demi mempertahankan kedaulatan Negara tercinta.

Syukur anakanda setiap hari,
Keluarga kita dilimpahi sakinah dariNya;
Kasih sayang ayahanda bonda anakanda hargai,
Moga kita sekeluarga hingga ke SyurgaNya.

Anakanda tersayang ayahanda tercinta,
Kasih berpadu bersama bonda dicintai;
Hidup berkeluarga sakinah tercipta,
Insya-Allah sekeluarga menghuni SyurgaNya nanti.

Duhai anakanda tersayang Fahd Al-Warith,
Ayahanda bonda doakan anakanda menjadi anak soleh;
Dewasa nanti menjadi seorang Khalifah,
Khalifah Islam yang boleh dibangga dan dimegah.

Ayahanda bonda tercinta kesayangan anakanda,
Cita-cita ayahanda akan anakanda kotakan;
Berusaha anakanda biarpun dugaan datang melanda,
Asalkan anakanda menjadi Khalifah Islam yang dibanggakan.

Karya: Ummu Sal
19 Jun 2011
(Sempena Sambutan Hari Bapa 19 Jun 2011)
(Pantun Diilhamkan Teristimewa Untuk Keluarga Feriz Omar)

Tuesday, May 10, 2011

PUISI MOGA SYURGA TEMPATMU BERSAMA BAPA TERCINTA


Ibu…
Pemergianmu kurindui dalam doa...
Sendu mengimbau kenangan hidup bersamamu...
Syahdu dalam redha pemergianmu...
Rintih mengenangkan pengorbananmu...
Pilu timbunan dosaku padamu...
Ampunkan anakmu ini ibu.
Ya Allah ampunkan kedua orang tuaku sebagaimana
mereka telah menjagaku sedari kecil.

Wajahmu yang tenang, kami rindui.
Kaulah ibu mithali, isteri soleha.
Doa kami moga tempatmu di Syurga
bersama bapa tercinta.
Amin Ya Rabbal A’lamin.

Karya: Ummu Sal
8 Mei 2011
(SEMPENA SAMBUTAN HARI IBU SEDUNIA)

PANTUN IBU OH! IBU


Diucapkan selamat hari ibu ,
Kepada ibuku tersayang;
Kami adik beradik menyayangimu,
Dunia akhirat tetap di sayang.

Dalam kandungan ibu berdoa,
Agar dikurniakan anak soleh soleha;
Bersyukur ibu melahirkan cahaya mata,
Seorang bayi yang amat sempurna.

Ibu berkorban nyawa membesarkan anak,
Membesarkan anak tanpa harapkan balasan;
Kecilkan hati ibu berdosanya anak,
Di akhirat nanti mendapat balasan.

Anak dipelihara bersama ibu dan bapa,
Dididik dijaga dengan penuh kasih sayang;
Jerih payah ibu pelbagai rupa,
Namun sabar demi kasih dan sayang.

Biarpun penat tidak mengapa,
Asalkan anak semuanya terjaga;
Kebahagian anak ibu berdoa,
Moga ibu tempatnya di Syurga.

Derhakaku ibu kejamnya aku,
Kecilkan hatimu bukan kusengaja;
Sudah lumrah manusia begitu,
Moga Allah memberi hidayah sentiasa.

Bukan mahuku jadi anak derhaka,
Pengaruh kawan buatku begini;
Menagih mengedar dadah buatku celaka,
Lupakan nasihat ibu penjaraku di sini.

Kekhilafanku buat ibuku berair mata,
Berdoa ibu agar aku dilepaskan;
Menangis aku hingga bengkak mata,
Tapi kesalahanku tak akan dilepaskan.

Malunya aku berdepan dengan ibu,
Ke mana pergi tanganku bergari;
Sedihnya aku mencium dahi ibu,
Maafkan aku ibu membuatmu begini.

Biarpun aku jadi begini,
Namun ibu tetap kasihkan aku,
Kusalahkan diriku sendiri,
Kerana tak menghargai kasih ibuku.

Hidup di penjara amat memeritkan,
Terkenang-kenangkan ibu dalam kerinduan;
Lukakan hatimu kutangis dalam sendan,
Penyesalan yang tak sudah aku kesalkan.

Kalau diulangkan masa mahu aku berubah,
Menjadi anak soleh sukakan hatimu ibu;
Tentu aman bahagia iman yang teguh,
Seteguh kasih sayangmu kasih sayangku.

Apa nak buat masa tak boleh diulang,
Aku tidak boleh membetulkan masa;
Moga anak di luar sana cari jalan pulang,
Pulang ke pangkal jalan demi hidup bahagia.

Hidup bahagia bersama ibu tercinta,
Balaslah kasih sucinya ibu;
Peluk ciumnya sebagai balasan cinta,
Pasti pilu dalam bahagia hati ibumu.

Apabila sudah jadi begini salah diriku,
Bukan salah ibu mengandung;
Aku yang khilaf mengikut nafsu,
Kejamnya aku membuat ibuku malang.

Bilamana ibuku berkunjung melawatku,
Aku dipeluk cium melepas rindu;
Kumenangis dalam syahdu,
Kutatap wajah ibu teramat pilu.

Aku menangis dalam sendu,
Ibu menangis dalam pilu;
Maafkan aku wahai ibuku,
Moga Tuhan merahmati hidupmu.

Ibu mengelap air mataku mengalir deras,
Ibu pujukku supaya bersabar;
Tabahnya hati ibu kudiambil tindakan tegas,
Ibuku tetap terimaku dengan sabar.

Masa berpisah amat memeritkan perasaan,
Bagaikan tersayat hatiku dalam luka;
Ibuku menangis penuh ihsan,
Dua beranak berpisah dalam cinta terluka.

Ibu oh! Ibu kusayang ibu,
Halalkan makan minumku;
Biarpun setitis air susumu ,
Doakan Allah terima taubatku.

Ibu oh!Iibuku tercinta,
Kasih sayangmu kuingat hingga ke mati;
Wangian cintamu bagaikan bauan Syurga,
Hingga hujung nyawa cintamu tetap diingati.

Karya: Ummu Sal
8 Mei 2011
(Bersempena Memperingati Hari Ibu Sedunia)

PANTUN PEKERJA PENENTU MASA DEPAN NEGARA


Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja,
Berkerjalah dengan setulus ikhlas ;
Hidupmu akan dihargai kerana berjasa,
Moga budimu Allah membalas.

Tiada pekerja tiada kerajaan tiada Negara,
Justeru ada Negara adalah pekerja;
Apa pun bidang kerja sumbangannya pada Negara,
Kerajaan tidak dapat dipisahkan dengan pekerja.

Kerajaan pembela nasib pekerja,
Pekerja kerajaan dilayan seperti anak emas;
Tepat masa pulang habislah kerja,
Kerajaan naikkan gaji juga diberi bonus.

Rakyat datang mahu berurusan,
Berurusan dengan penjawat awam;
Menunggu lama amat membosankan,
Membosankan berurusan penjawat awam.

Gaji nak bonus pun nak,
Tapi kerja tak setimpal gaji;
Bonus tak dapat mula memberontak,
Pekerja cemerlang kerajaan tetap memuji.

Kerajaan menyeru penjawat awam ,
Semua pekerjanya lakukan transformasi;
Demi kecemerlangan Negara dan orang awam,
Maka Negara maju kerana pekerja berdedikasi.

Malang sungguh pekerja swasta,
Masih ada juga sistem penghambaan;
Bekerja separuh mati gaji entah ke mana,
Kejamnya majikan tak ada perasaan.

Di era Negara maju serba moden,
Majikan untung berlipat ganda;
Gaji pekerja mereka tak naikkan,
Derita pekerja menyara keluarga.

Kerja separuh mati tak setimpal gaji,
Demi kehidupan teruskan juga;
Bos mengherdik juga mengeji,
Hati merintih ditahankan juga.

Hati merintah ditahankan juga,
Demi meneruskan sebuah kehidupan;
Sanggup bersusah demi keluarga,
Mengharapkan sinar cahaya di masa depan.

Sabar pekerja menahan cabaran,
Menghadapi karenah cerewetnya majikan;
Salah sikit dah panas baran,
Pekerja bersabar dalam kesempitan.

Gaji diberi tidak mencukupi,
Untuk menyara kehidupan keluarga;
Padahal majikan hidup serba mencukupi,
Sumbangan pekerja tidak berharga.

Mogok pekerja bos yang susah,
Mogok bos pekerja tak bergaji;
Hidup pekerja semakin susah,
Negara moden selalu tak begini.

Hari-hari bekerja demi sesuap nasi,
Mencari nafkah keluarga tercinta;
Setiap tahun bos menabur janji basi,
Memberi bonus semuanya helah belaka.

Mana lagi tempat hendak mengadu,
Pekerja malang derita tanggung sendiri;
Syukurlah ada hamba Allah ambil tahu,
Membela pekerja tidak dibiarkan sendiri.

Segala masalah mengadu kepada WNK,
Berjuang habis-habisan demi pekerja;
Berhujan berpanas sanggup bertekak,
Asalkan terbela nasib pekerja.

Dikutuk dihina tidak diambil peduli,
Memperjuangkan nasib pekerja bermati-matian;
Terbela nasib pekerja kepuasan di hati,
Kemenanganmu sentiasa kami nantikan.

Ya Tuhan jika kami di pihak yang benar,
Berilah kami kekuatan dan keazaman;
Moga rintihan kami mereka mendengar,
Bahagialah kami demi sebuah kehidupan.

Doa orang teraniaya tanpa hijab,
Hidup bersandar kepada Allah semata;
Berusaha bertawakal doa mustajab,
Berjuang tetap berjuang demi pekerja tercinta.

Duhai kerajaan mereka kata,
Hidup ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang;
Pekerja salahkan kerajaan...majikan diam tanpa kata,
Alangkah bagus seia-sekata mulai detik ini dan akan datang.

Kamu akan dapat apa yang kamu perjuangkan,
Tapi ada hati-hati sengsara tak cukup gaji;
Justeru belalah nasib pekerja duhai kerajaan dan majikan,
Agar jadi realiti rakyat berpendapatan tinggi.

Tiada pekerja tiada kerajaan tiada Negara,
Saling faham memahami demi Negara;
Antara pekerja majikan juga kepimpinan Negara,
Kerana pekerja penentu masa depan Negara.

Pekerja penentu masa depan Negara,
Itu tidak dapat dinafikan mana-mana Negara;
Rakyat dibela diperjuangkan demi Negara,
Pekerja merealisasi tranformasi Negara

Aku tahu aku naif dalam hal ini,
Sepuluh jari ku mohon kemaafan;
Kerana aku tahu siapalah aku ini,
Tidak sebijakmu menuntut sebuah harapan.


Karya: Ummu Sal
1 Mei 2011
(Bersempena Meraikan Sambutan Hari Pekerja)

PANTUN GUGUR MUJAHID SENYUMAN SYURGA


Jangan dituduh pengganas mujahidku,
Kerananya Agama Islam sentosa;
Perjuanganya tak pernah jemu,
Di mana berada dipertaruhkan nyawa.

Dalam Islam tiada istilah pengganas,
Begitu mudah manusia menuduhnya;
Allah tidak suka mereka yang mengganas,
Dikirimkan ngauman bumi sebagai protesNya.

Di langit kerajaan Islam penuh duka,
Meratap menghiba tiada siapa yang tahu;
Allah janjikan syahid penawar duka,
Kenikmatan Syurga mereka tak tahu.

Umat Islam diperlakukan seperti haiwan,
Dibedil bertalu tanpa keperimanusiaan;
Mujahid Islam bangkit melawan,
Demi kerana Allah dalam kecintaan.

Negara Islam dibedil terus-terusan,
Dendam kesumat tak pernah padam;
Ada yang ditawan menjadi tebusan,
Diseksa dalam neraka dunia penuh kejam.

Kesumat mereka tak pernah padam,
Negara Islam akan dibedil dan ditakluki;
Itu azam mereka yang suka berdendam;
Agar Islam terkubur di Negara sendiri.

Pejuang Islam tak pernah gentar,
Rela bermandikan darah dihujani peluru;
Perjuanganmu buat hati bergetar,
Wajahmu tenang berjumpa Tuhanmu.

Sungguh murni seorang mujahid,
Perjuangannya takkan terhenti tanpa jemu;
Mujahid balasanya syahid,
Kukalungkan doa kesejahteraan buatmu.

Di wajahmu ada Syurga,
Perjuanganmu tanpa jemu;
Kepentingan Islam sentiasa dijaga,
Putus asa tak pernah bertamu.

Kau berjuang hingga akhir hayat,
Semangatmu sentiasa membara;
Perjuanganmu tak pernah tamat,
Generasi pelapismu terus mara.

Masa hidup penuh perjuangan,
Perjuangannya jelas dan tepat;
Membela Islam ditimpa kekejaman,
Memberontak mujahid adalah bertempat.

Tiada hari tanpa perjuangan,
Biarpun diburu di setiap penjuru;
Namun berundur tidak sekalipun,
Rela bemandikan darah dihujani peluru.

Gugurmu mujahid aku tangisi,
Kutangis dalam kesyukuran mengingatimu;
Kenikmatan Syurga kini kau rasai,
Di sini mujahid menggantikan tempatmu.

Ramai berlumba mengikut jejakmu,
Tanda cintakan Allah sayangkan hambaNya;
Mereka bemandikan darah dihujani peluru,
Gugurnya mereka menyusuli dirimu.

Kehidupan mengasyikkan memukau pandangan,
Wangian Syurga menusuk qalbu;
Syurga kau terima sebagai balasan,
Menikmati SyurgaNya tak pernah jemu.

Gugur mujahid senyuman Syurga,
Kehidupan di Syurga mujahid gembira;
Nikmat Allah dalam kesyukurannya,
Menunggu Hari Pembalasan telah dibalasNya.

Karya: Ummu Sal
4 Mei 2011

Wednesday, May 04, 2011

HARAPANKU KEPADA TEMAN FACEBOOK KU


HARAPANKU KEPADA TEMAN FACEBOOK KU

Duhai teman facebook ku,
kita berkomunikasi di alam maya
bukan untuk
sekadar suka-suka,
bersembang kosong,
mengumpat keji,
cerca mencerca
tapi…
sebagai mencetuskan evolusi minda
ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat!

Karya:  Ummu Sal
             (30 April 2011) 

PENGHARAPANKU PADAMU YA ALLAH


PENGHARAPANKU PADAMU YA ALLAH

Aku bukanlah  orang pandai tapi
minat kerja macam orang bijak pandai.
Pening memang pening,
sakit kepalaku
kerana siapalah aku nak dibandingkan
mereka yang bijak pandai.
Dengan pertolongan Allah yang Maha Bijak,
Dia mengilhamkanku,
syukurku padaNya.
Insya-Allah selagi  dikurniakan
kudrat pemikiran   ku usahakan selagi larat
biarpun tidak dipandang manusia aku redha
 tapi pandangan ihsanMu amat aku harapkan
sepenuh jiwaku kerana aku teramat takut sekiranya
di alam akhirat nanti biarpun aku menangis air mata
darah sepenuh alam sekalipun Kau tak akan pandang!
Aku tak mahu begitu Ya Allah!
Dengan air mata penuh pengharapan ini Kau pandang
dan terimalah segala usahaku ini.
Amin Ya Rabbal A'Lamin.

Karya:  Ummu Sal
             29 April 2011

MOHON SYAFAATMU DI MAHSYAR


MOHON SYAFAATMU DI MAHSYAR

Duhai kekasih Allah yang dicintai,
balaslah cinta kami ini…
Satukan hati-hati kami
untuk saling ingat mengingati
tentang perjuanganmu sentiasa diingat.
Kesyahduan cintamu pada kami umatmu
kami tangisi,
betapa tulus ikhlasnya cintamu pada kami
harusnya kami balasi.
Kami menanti penuh pengharapan…
Ya Nabi Allah
Ya Kekasih Allah
yang kami cintai
seutuh cintamu
pada kami!
Pilihlah kami mendapat syafaatmu
di Mahsyar nanti.
Amin Ya Rabbal A’Lamin.

Karya:  Ummu Sal
             (BERSEMPENA MENYAMBUT HARI KELAHIRAN NABI MUHAMMAD  S.A.W
              PADA TAHUN KE 53 – SEBELUM HIJRAH/570 MASIHI, DI MAKKAH )

PUISI PAHLAWANKU


PUISI  PAHLAWANKU

Pahlawanku…
Kau gagah perkasa
mempertahankan negaramu
tanpa jemu…
Rela bermandikan darah…! Dihujani peluru!
Pertaruhkan nyawamu di setiap penjuru
demi keamanan negara dan generasimu.
Kau juga menyumbang  kepada
keamanan dunia!
Jasamu sentiasa di hatiku
di pusaramu nanti kukalungkan
bunga-bunga cinta perjuangan
kubertafakur mendoakan
rohmu mendapat ganjaran Syurga!
Amin Ya Rabbal A’ Lamin.

Karya:  Ummu Sal
             (Bersempena Memperingati Hari Pahlawan Malaysia)

PANTUN DARAH SEORANG PEJUANG YM KANDA SRI SELAMAT


Selamat Hari Keputeraan Sultan Perak,
Ucapan YM Kanda Sri Selamat kepada Sultan dikasihi;
Aman sejahtera rakyat Perak,
Moga ikatan Raja dan rakyat  sentiasa diberkati.

Selamat menyambut hari kelahiran,
Buat YM Kanda Sri Selamat;
Perjuanganmu terus terusan,
Wangian budimu sentiasa tersemat.

YM Kanda Sri Selamat  berhati wajar,
Cintakan bangsa cintakan Negara;
Perjuanganmu untuk menyedar,
Agar terjunjung kedaulatan Negara.

Perjuanganmu jelas dan tepat,
Demi agama bangsa dan Negara;
Pengorbananmu hingga ke akhir hayat,
Demi PEWARIS kau semaikan semangat membara.

Duhai putera puteriku,
Tanggungjawab Negara terpikul  di bahumu;
Moga perjuanganmu tak pernah  jemu,
Mempertabatkan Negara hingga di mercu.

Perjalanan kita masih jauh,
Tapi umur kita makin mendekat;
Justeru bangsaku bersatulah,
Demi agama bangsa negara sentiasa terikat.

Duhai bangsaku Melayu akan berubah,
Melayu takkan rebah di bumi sendiri;
Kerana penyatuan cintanya begitu teguh,
Demi  agama bangsa negara rela mati di bumi sendiri.

Melayu akan bertapak di bumi ini,
Takkan ada talam dua muka;
Melayu akan sokong Melayu di negara ini,
Melayu berpecah tiada siapa yang suka.

Duhai bangsaku bersatumu bahagiaku,
Berpolitik jangan sampai ada perpecahan;
Jadikan politik majukan negaraku,
Kelak nanti datang rahmat dari Tuhan.

Ke mana  perjuangan Melayu hendak dibawa,
Pening kepala hendak difikirkan;
Gabungan pemikiran generasi muda haruslah ada,
Kerana perjuangan hari  ini penentu masa hadapan.

Nasib Melayu akan diperjuangkan,
Kerana pemimpinnya Melayu;
Jika nasib Melayu dibiarkan,
Maka sia-sialah jadi Melayu.

Berjuang  tetap berjuang juga,
Pantang undur sebelum berjuang;
Kepahlawan Melayu terkenal di serata dunia,
Gagahnya pahlawan terus gilang- gemilang.

Biar terlerai daging dari tulang belulang,
Akan kugenggam bara Melayu ini;
Moga perjuangan Melayu takkan hilang,
Biarpun nyawa jadi taruhan diri.

Pahlawan Melayu pantang berundur,
Rela bermandikan darah dihujani peluru;
Demi PEWARIS tak akan berundur,
Negara dipertahankan di setiap penjuru.

Takkan hilang Melayu di dunia,
Ini sumpah Pahlawan Hang Tuah;
Melayu bersatu muafakat sama-sama,
Itulah matlamat PEWARIS Hang Tuah.

Pengikut YM Kanda Sri Selamat ramai sekali,
Menghargai pejuangnya amat berani;
Apabila berjuang tidak takut mati,
Pertahankan negara untuk dihormati.

Wajahmu amat tenang,
Setenang air di kali;
Perjuanganmu sentiasa menang,
Falsafah perjuangan sentiasa di hati.

YM KSS  berjuang bukan untuk berbangga,
Hanya tanggungjawab khalifah di bumi ini;
Bakti dicurah amat berharga,
Moga balasan Syurga menantimu nanti.

Selagi ada bulan dan matahari,
PEWARIS dipertahankan sejak berzaman;
Pemimpin idolaku sentiasa di hati,
Moga negara merentasi zaman.

Kucinta negara sepenuh hati,
Rela berkorban nyawa demi negaraku;
Pemimpin dan rakyat bersatu hati,
Pasti  1Malaysia sayangkan negaraku.

Tiada apa yang hendak kutinggalkan,
Hanya perjuanganku yang berkekalan;
Ketiadaanku nanti jangan ada perbalahan,
Doakan rohku dalam ketenangan.

Ketiadaanmu  nanti kami rindui,
Perjuanganmu akan kami  teruskan;
Pusaramu kutaburkan bunga-bunga kasih suci ,
Moga rohmu tenang dalam keredhaan.

Karya: Ummu Sal
            28 April 2011           
           (Bersempena  Memperingati Ulang Tahun Kelahiran YM Kanda Sri Selamat)


PUISI  PERWIRAKU YM KANDA SRI SELAMAT

Duhai perwiraku…
Perjuanganmu aku kagumi,
moga semangat dan perjuanganmu
takkan pernah luntur…
Biarpun tsunami datang membadai!
Biarpun nyawa jadi taruhan!
Kerana dirimu adalah penyambung WARISAN,
namamu akan terpahat di hati WARISAN,
generasi kini dan akan datang.
Selagi ada bulan dan matahari
namamu tetap gah!
Perjuanganmu tetap megah!

Karya:  Ummu Sal
             28 April 2011            
            (Bersempena Memperingati Hari Ulang Tahun Kelahiran YM Kanda Sri Selamat)
 

BUKU KREATIF PATRIOTIK Karya Ummu Sal Designed by PERKHIDMATAN MINDA KREATIF ©