Saturday, March 12, 2011

PANTUN KENANGAN BERSAMA BAPA TERSAYANG


KARYA:   UMMU SAL

Bapaku bapa penyayang,
Besarkan aku dengan kasih dan sayang;
Agar aku mejadi anak cemerlang,
Bila dewasa menjadi warga terbilang.

Semasa kecil anak yang bijak,
Ibu tersenyum bapa gembira;
Bila belajar biarlah banyak,
Semangat belajar terus membara.

Pagi-pagi pergi sekolah,
Pergi sekolah dihantar bapa;
Bila belajar tidak bermasalah,
Ditegur guru tidak mengapa.

Sebelum sekolah bersarapan dulu,
Bersarapan pula dengan bapa;
Bila gagal berasa malu,
Ulangkaji pelajaran janganlah lupa.

Kerja bapa sebagai nelayan,
Menangkap ikan setiap pagi;
Kerenah anak semuanya dilayan,
Besarkan anak tak akan rugi.

Bapa seorang kuat bekerja,
Untuk menyara ahli keluargaku;
Pergi ke pasar ikan dijaja,
Buat belanja untuk diriku.

Keletihan bapa buatku terharu,
Kusediakan makanan untuk bapaku;
Biar bapa berehat dulu,
Kubelikan ubat bapa tak tahu.

Hidup susah tapi bahagia,
Dapat bapa seorang penyayang;
Sukanya hati tidak terhingga,
Mendapat kasih bapa tersayang.

Bila demam dibelikan lai,
Bila pening ditampal koyok;
Masa belajar jangan lalai,
Bila tua tidaklah nyanyuk.

Pergi ke dusun beli durian,
Bapa membeli untuk anak-anaknya;
Kasih bapa tidak bertepian,
Kusayang bapa tak perlu ditanya.

Bapa menonton bola sepak pingat piala dunia,
Aku menonton bersama bapa;
Bila gol bersoraklah dia,
Terlalu gembira gol pun lupa.

Bapa bersorak bagai nak rak,
Pasukannya kalah menepuk dahi;
Pasukan disokong mendapat perak,
Bapa kecewa aku dimarahi.

Kupujuk bapa jangan mengalah,
Di tahun lain pasti menang;
Bapa kecewa bukan mengalah,
Asalkan bapa berasa tenang.

Air hujan ditadah malam Jumaat,
Buat kuminum penerang hati;
Bapa mendoakanku setiap saat,
Agar lulus peperiksaan nanti.

Setiap Ramadhan aku gembira,
Makanan sahur bapa sediakan;
Aku bersahur penuh selera,
Masakan bapa tidak dilupakan.

Malam tujuh likur amat meriah,
Keliling rumah memasang pelita;
Bermain bunga api bapa tak marah,
Gembiranya hati tidak terkata.

Di pagi Syawal pergi  ke kubur,
Kusyuk sungguh bapa berdoa;
Kasihkan nenek tak pernah luntur,
Kasih sejati ke hujung nyawa.

Bapa bertakbir di pagi raya,
Syahdu sungguh bila mendengar;
Tiada beza miskin kaya,
Bermaaf-maafan tanda syukur.

Malam itu bulan mengambang,
Bapaku sakit menarik nafas;
Sakit bapaku buatku bimbang,
Rupanya bapa terhenti nafas.

Hidup bersama bapa tinggal kenangan,
Sudah tiga puluh tahun ditinggal bapa;
Kenangan bersama bapa dilupa jangan,
Ke hujung nyawa kusayang bapa.

Selamat hari bapa untuk bapaku,
Biarpun sudah tinggal kenangan;
Kukirim doa untuk bapaku,
Bahagia bersama dalam bayangan.



Karya:    Ummu Sal
          20 Jun 2010



Puisi Buat Bapaku Sayang

Bapaku sayang…
Meskipun sudah 30 tahun berlalu…
Kenangan hidup bersamamu masih tetap segar
dalam ingatanku.
Kau adalah bapa yang bertanggungjawab dan penyayang.
Aku disayangi… Aku dimanjai… Walaupun hidup dalam
serba kekurangan tapi kami bahagia hidup berkeluarga.

Terima kasih kerana telah mendidik dan membesarkanku
biarpun hidup bersamamu hanya 17 tahun tapi aku amat
menghargai  setiap budi yang diberikan padaku.

Terima kasih kerana sudi menyayangiku dengan penuh
keikhlasan. Moga kita berjumpa di Syurga nanti.
Amin Ya Rabbal A'Lamin.


Karya: Ummu Sal
       20 Jun 2010
       (Bersempena Sambutan Hari Bapa)

0 comments:

Post a Comment

 

BUKU KREATIF PATRIOTIK Karya Ummu Sal Designed by PERKHIDMATAN MINDA KREATIF ©